PENGHIAS muka depan minggu ini, SinarPlus tampilkan Dayah Bakar, pengacara yang petah berbicara dan sangat peramah orangnya.

Istimewa kali ini juga, bukan beliau seorang sahaja yang diintai lensa kamera kami, bahkan dua putera kesayangannya turut ditampilkan bersama.

Sesuai dengan bulan Mei yang sinonim dengan sambutan Hari Ibu, tiga beranak ini hadir ke studio Sinar Karangkraf tepat seperti dijanjikan.

Baca ni Anak-anak sumber kekuatan Bella Astilah.’ Mereka buat saya tenang, reda & kuat’

dayah bakarWalaupun kesihatan anak keduanya masih belum benar-benar pulih daripada selesema, namun wanita itu tetap berpegang pada janji.

Menyingkap sejarah awal pembabitan pemilik nama Nur Hidayah Abu Bakar dalam industri seni, dia mula menceburi bidang pengacaraan apabila menyertai program realiti Projek 3R.

Bakat sebagai seorang pengacara tidak disia-siakan, namun peluang bergelar penyampai radio untuk stesen iM4U FM pada 2014 cukup bermakna.

Sikapnya yang rajin dan enggan berada ditakuk sama membuatkan anak bongsu daripada lima beradik itu memberanikan diri menceburi bidang perniagaan hijab menerusi pembukaan Modesty by Dayah Bakar.

Bahkan, dia juga pernah bergelar artis rakaman dengan menghasilkan dua single bertajuk, Imamku dan Jarak.

Baca juga Perpisahan tiada unsur orang ketiga, Redza Syah Azmeer dedah sudah maklumkan perkahwinan kepada Irma Hasmie

dayah bakar 1

Berbalik semula kepada bakatnya sebagai pengacara, sememangnya itu tidak boleh disangkal lagi. Borak Kopitiam, Sembang Sahur dan terbaharu Malaysia Hari Ini antara program di bawah pengacaraannya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) bagi subjek undang-undang itu berkata, dia bakal mengeluarkan single terbaharu tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, ini yang dinamakan rezeki. 10 tahun saya dalam industri, semua bidang saya ceburi. Pengacaraan, usahawan, penyanyi, penyampai radio, model, penulis lirik dan sebagainya,“ ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi.

Malah, ibu kepada Achbar Muhammad Fahri dan Armand Muhammad Fayyadh itu turut mencabar diri berkolaboratif dengan mana-mana pihak yang berminat.

“Dalam bab hijab misalnya, saya pernah bekerjasama dengan satu butik tudung lokal dan selesa bekerjasama walaupun pada awalnya saya sedikit bimbang. Jika ada lagi tawaran lain selepas ini, saya tidak akan menolak.

“Malah, jika ada ruang dan peluang untuk kembali di konti radio sebagai deejay, saya cukup berbesar hati,“ dedah Dayah yang turut terkenal sebagai pempengaruh, selain bergelar duta bagi produk kecantikan Wardah.

Melihatkan jadual kerjanya yang cukup padat, terdetik dihati penulis, bagaimana wanita itu tetap ada kesempatan bersama suami dan anak-anak.

Baca juga ‘Ya, saya memang anak mak.’ Zaki Yamani selesa diuruskan ibu, enggan dibayangi ayah sendiri

dayah

Kongsi rahsia

Dedah tuan punya badan, dirinya cukup bersyukur dan terharu dengan bantuan serta sokongan suami dan anak-anak yang memahami kerjayanya.

Perbualan kami seterusnya menyentuh mengenai sambutan Hari Ibu, akui Dayah, mereka sekeluarga tetap menyambutnya dengan membelikan kek dan hadiah.

“Sejujurnya saya paling rapat dengan mummy dan selalu berkongsi cerita serta rahsia, daripada sebelum berkahwin sehingga memiliki dua anak. Bahkan, rumah kami juga berdekatan dengan kediaman keluarga.

“Terima kasih mummy atas segala pengorbanan selama ini. Semoga syurga buat dirimu,“ ungkap Dayah penuh makna.

Masih lagi berbicara soal Hari Ibu, kata isteri kesayangan Kapten Muhammad Hanif Hamidi, momen paling diingati bersama syurganya itu adalah ketika dirinya hamil anak sulung.

“Kalau diikutkan, saat paling istimewa adalah apabila saya disahkan hamil. Waktu itu saya buat kejutan kepada mummy dengan meletakkan kit ujian kehamilan di dalam sebuah beg kecil. Mummy yang melihat terus terkejut dan gembira kerana bakal bergelar nenek.

“Saya tak nafikan, ada yang mengatakan anak lelaki biasanya lebih rapat dengan ibu, sementara yang perempuan dengan si ayah. Namun, bagi saya, semuanya bergantung kepada seseorang individu itu.

“Anak -anak dan ibu memiliki tempat yang istimewa. Bonding mereka cukup berbeza,“ ulasnya lagi.

Baca lagi Rakan baik sahkan Irma Hasmie dan Redza Syah sudah bercerai 6 bulan. ‘Doakan yang baik-baik buat sahabat saya’

dayah 1

Sempat juga penulis cuba mengorek apakah hadiah paling bermakna diberikan oleh suami tercinta, sambil tertawa Dayah memberitahu, walking pad dibeli suaminya semata-mata mahu menyokong dirinya yang ingin menjaga kesihatan diri.

“Sudah lama saya idam-idamkan produk tersebut, tidak sangka suami begitu prihatin. Katanya, itu merupakan hadiah dan memang sengaja beli kerana tahu saya menyukainya dan dia mahu membeli sesuatu yang saya sukai,“ ungkapnya sambil tersenyum.

Berbicara lebih lanjut mengenai statusnya sebagai ibu, kata Dayah jika dahulu fokusnya terarah kepada kerjaya dan mahu menjadi anak baik, kini sudah berbeza.

“Ikutkan sudah bertambah lagi satu perasaan iaitu bukan sahaja menjadi isteri mithali, malah saya juga mahu menjadi ibu yang terbaik buat zuriat kami.

“Bahkan saat bergelar ibu, saya anggap diri sebagai guru pertama yang terbaik untuk anak- anak,“ujarnya penuh kesyukuran.

Dayah 2

Iklan

Isteri pegawai beruniform

Menyingkap lembaran kehidupan sebagai isteri pegawai beruniform, mungkin pada pandangan mata kasar ia sesuatu yang cukup membanggakan.
Sementelah belahan jiwa menjadi insan yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara.

Namun, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Bukan mahu mengungkit jauh sekali membangkit, namun pengorbanan yang dilalui bukan kaleng-kaleng.

Ditinggalkan, terpaksa berjauhan antara pengorbanan yang perlu dilakukan dan ia sudah tergaris di ruangan takdir buat dirinya untuk menjadi insan terpilih dalam melalui situasi tersebut.

“Hati kena kuat dan ada masanya itu sahaja pilihan yang ada. Kerana itulah, kena ada sistem sokongan yang kuat dan minda positif.

“Saya selalu tanamkan dalam diri, suami merupakan orang hadapan yang mendukung sesuatu istimewa. Secara tidak langsung, sebagai seorang ibu dan isteri boleh diibaratkan ladang pahala serta saham akhirat kerana reda dan ikhlas melalui semua itu.

“Memang tidak dinafikan, ada masanya bila bersendirian, kadangkala membuatkan diri down.

“Mujur saya dikelilingi keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan moral dan bukannya tampilkan kata- kata negatif atau yang boleh membuatkan seseorang itu tambah berduka,” katanya.

Menyelak sisi hatinya, dengan jujur Dayah mengakui kerisauan setiap kali suami beroperasi tetap wujud dalam dirinya.

dayah 3

“Bohonglah andai kata saya positif sepanjang masa. Namun, kena tahu doa seseorang isteri itu hebat dan doa saya kepada semua wanita di luar sana yang sedang berdepan dengan ujian, semoga dipermudah segala urusan.

“Kalau boleh elak membiarkan minda kosong kerana itu yang membuatkan diri anda berfikir bukan-bukan. Sibukkan diri dengan aktiviti, misalnya kelas memasak, menjahit , tambah ilmu dengan menyambung pengajian ataupun keluar dengan kawan-kawan yang boleh ceriakan dan sebagainya,“ ulas Dayah yang bangga kerana terpilih menjadi isteri kepada pejuang negara.

Iklan

Diminta berkongsi tip atau nasihat buat wanita di luar sana yang berada dalam situasi sepertinya, kata Dayah, letakkan ALLAH di hati dan jangan putus-putus mendoakan suami supaya diberi ganjaran dan syurga tertinggi.

“Kita tidak tahu doa mana yang akan diangkat. Justeru, kata suami, hargai sokongan yang diberikan,” ujarnya lagi.

Dayah dalam pada itu turut ditanya tentang penggunaan media sosial. Empunya diri mengakui sudah biasa menggunakan platform tersebut sejak dahulu lagi.

“Saya memang suka berkongsi aktiviti yang disertai dengan pengikut di luar sana. Mungkin ada yang suka dan ada juga kurang senang. Pun demikian, kita cukup hargai apa juga pandangan semua.

“Hidup ini bukan bersandarkan keinginan diri sendiri semata-mata, cuma bukan semua perkara saya kongsikan, masih ada hadnya,“jelasnya lagi.

dayah 4

Menyentuh mengenai pembabitan anak-anak terunanya kelak sama ada memilih bidang seni atau mengikut jejak langkah si ayah, kata Dayah, dia dan suami sepakat membiarkan anak-anak memilih pilihan masing-masing.

“Kami mahu memberikan pendidikan dan contoh terbaik, selain mengharapkan anak-anak bahagia dunia akhirat. Apabila besar kelak, hati dan minda sudah terbuka, maka mereka boleh buat pilihan sendiri.

“Tentang menambahkan ahli baharu, rasanya tidak mungkin dalam masa terdekat ini.
tetapi saya dan suami tidak menolak malah menerima dengan tangan terbuka jika diberikan rezeki lagi,“ ungkap Dayah.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat! 

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!