SUDAH menjadi trend industri seni tanah air, rezeki populariti artis baharu mudah mencanak naik apabila membintangi drama atau filem dengan sandangan watak heroin ayu dan lemah lembut.

Apatah lagi, ditambah dengan pakej penuh seperti berwajah cantik, tubuh badan langsing dan mempunyai standard tertentu menjadikan bintang mereka lebih menyerlah.

Pun demikian, lain pula kisahnya Trisha Ooi yang membina nama dalam dunia lakonan dengan kehebatan beraksi dalam lagak ngeri seawal usia 16 tahun!

Berbekalkan ilmu pertahanan diri yang dikuasai sejak usia sembilan tahun lagi dan perwatakan lasak meletakkan wanita berusia 25 tahun itu dalam kelasnya tersendiri.

rezeki Trisha Ooi

Baru-baru ini, penulis berpeluang untuk menggali dengan lebih mendalam sisi peribadi pemilik nama sebenar, Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi ketika sesi temu bual untuk muka depan SinarPlus.

Sebenarnya, bukan mudah untuk menempah slot masa kosong pelakon lincah yang mesra dipanggil Trisha itu memandangkan beliau sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri, Senyawa yang merupakan terbitan MIG Production Sdn Bhd.

rezeki Trisha Ooi

Pun begitu, sesi pertemuan yang dirancang pada Jumaat lalu akhirnya dapat direaliasikan. Trisha tampil polos tanpa sebarang solekan, namun tetap manis dengan penampilan santai sekadar kemeja- T dan seluar jeans bersama pengurusnya, EL Saifuddin.

Sambil wajah dioles penuh teliti oleh jurumekap, Ain Said, satu soalan dilontarkan kepada Trisha sebagai pembuka wadah bicara kami pada pagi itu.

rezeki Trisha Ooi

Sambil tersenyum, peneraju watak utama Filem Janna Endoro itu memberitahu, pada mulanya beliau sekadar suka-suka dan mahu melihat set penggambaran filem sebelum akhirnya jatuh cinta dengan dunia lagak ngeri.

“Masa itu, jurulatih silat saya iaitu Ubai Amir ada tanya saya nak cuba berlakon stunt? Saya apa lagi terus jawab ‘nak’ sebab memang sudah lama nak tengok set pengambaran dari kecil lagi.

rezeki Trisha Ooi

“Kalau diikutkan dulu, arwah ayah banyak dedahkan saya dengan filem aksi Hong Kong seperti lakonan Tan Sri Michelle Yeoh, Jackie Chan dan ramai lagi. Dari situlah minat dengan aksi lagak ngeri sudah muncul.

“Jadi, bila ada peluang datang, saya rebut tanpa fikir panjang sebab teringin nak tengok bagaimana pelakon stunt berlakon dan suasana penggambaran,“ ceritanya dengan nada teruja.

Bayangkan hari pertama penggambaran untuk filem aksi negara asing, pelakon setinggi 163 sentimeter itu sudah dilanggar dengan sebuah kereta secara tidak sengaja sehingga terseliuh bahu.

 

“Itu antara pengalaman yang tak akan saya lupakan sampai bila-bila dan alhamdulillah, saya sudah lima tahun berkecimpungan dalam bidang ini. Banyak perkara saya belajar daripada sifu seperti Kim Kufuzawa yang merupakan stuntwomen pertama Malaysia.

“Syukur rezeki pula semakin murah apabila syarikat produksi mula menawarkan job lakonan untuk drama dan filem,“ katanya yang sudah membintangi hampir 20 naskhah terbitan produksi lokal.

rezeki Trisha Ooi

Melihat semua pencapaian yang dikecapi dalam tempoh dua tahun bergelar aktres, adakah itu impian yang sudah dipasakkan dalam diri sejak kecil lagi?

Menjawab persoalan tersebut, penyandang watak Erra dalam drama Risik Pada Hati (2022) itu tanpa berselindung mengakui, kerjaya idaman sebenar adalah mahu menjadi seorang pegawai polis.

rezeki Trisha Ooi

“Saya memang suka aksi lasak sejak kecil dan pernah cakap dengan mummy dan arwah ayah mahu jadi polis. Namun, masa itu mummy tak setuju sebab risaukan keselamatan.

“Jadi, daripada bercita-cita mahu jadi polis, saya ubah kepada peguam. Ya! Saya tak sangka pula jadi pelagak ngeri dan pelakon sekarang ini,“ ujarnya sambil tertawa riang.

Jenis introvet

Siapa sangka, anak bongsu daripada dua beradik yang dikenali dengan perwatakan petah bercakap, peramah dengan mudah tersenyum itu rupa-rupanya seorang introvert.

rezeki Trisha Ooi

Selepas pemergian bapa tercinta akibat kanser hati pada tahun 2015, sikap mahu menyendiri dan tidak mahu bergaul dengan dunia luar semakin menebal.

Baca juga Datin Anne Ngasri akui anak pencetus belajar masak, suami pendorong aktif politik. ‘Memasak ibarat terapi dan me time saya…’

Trisha memberitahu, dirinya tidak dapat menerima suasana persekolahan baharu selepas berpindah sekolah ketika usia 16 tahun, sekali gus mendorong ibunya menyediakan guru khas untuk mengajarnya di rumah.

rezeki Trisha Ooi

“Saya belajar dari rumah. Pada saat itu, dunia saya hanyalah keluarga dan seni mempertahankan diri. Pemergian ayah juga membuatkan saya lebih berdikari.

“Dunia lakonan juga sedikit demi sedikit mengubah personaliti saya ke arah lebih baik. Jika sebelum ini pemalu, kini saya berani beraksi depan khalayak,“ tuturnya yang kini sedang berjinak-jinak dengan dunia pengacaraan.

rezeki Trisha Ooi

Bersembang dengan peminat rona hitam dan putih itu nampaknya berjaya menyingkap sedikit demi sedikit sisi peribadi yang mungkin ramai peminat tidak tahu.

Selain menghabiskan masa bersama ibu tersayang, 12 ekor anak bulus di rumah juga menjadi terapi diri buat si cantik manis itu.

rezeki Trisha Ooi

Boleh dihitung, haiwan peliharaan jenis Scootish dan kampung yang dibela kebanyakannya adalah kucing jalanan yang diambil dan dibawa pulang sama ada si ibu atau Trisha sendiri.

“Si comel paling saya sayang namanya Tiger atau Atok. Dialah yang paling manja. Siap tunggu atas katil kalau saya balik kerja,“ kata pencinta haiwan itu.

Penasihat terhormat

Tidak sah jika perbualan kami tidak berkisarkan tentang keluarga tercinta terutamanya ibu yang menjadi harta paling berharta buat dirinya.

Mana tidaknya, gaji pertama Trisha sebagai pelakon diserahkan sepenuhnya kepada syurga tercintanya itu sebagai tanda penghargaan yang tidak berbelah bahagi.

rezeki Trisha Ooi

Iklan

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, dunia saya adalah mummy, abang dan kucing. Sebagai anak, saya berusaha untuk berbakti sebaik mungkin untuk membahagiakannya.

Baca juga Mila Jirin sanggup beralih bidang demi pikul amanah jadi ketua keluarga. ‘Bahagia perlukan wang demi kelangsungan hidup…’

“Sekarang ini, mummy juga menjadi sebagai penasihat terhormat untuk karier saya. Setiap pemilihan watak perlu ‘kelulusannya‘ terlebih dulu sebelum terima mana-mana job,“ ceritanya.

rezeki Trisha Ooi

Meski pada awalnya, ibu dan arwah ayah turut menentang hasrat Trisha mahu berkecimpung dalam dunia seni, namun pencapaian demi pencapaian yang diraih berjaya membuka hati ibunya.

“Saya masih ingat lagi kata-kata ayah yang mahu saya utamakan pendidikan. Katanya, kalau nak buat apa sekali pun, pastikan menjadi yang terbaik antara terbaik.

rezeki Trisha Ooi

“Justeru, saya masih berpegang pada janji terakhir saya kepadanya yang mahu melihat saya sebagai peguam. Sekarang ini, saya teruskan impian diri dan harapan ayah dengan menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang,“ kata graduan MSU itu.

Pemegang sijil Diploma Undang-Undang dan Perdagangan itu terus berazam untuk memiliki sarjana ijazah muda dalam jurusan tersebut, walaupun sibuk dengan kerjaya hakiki.

Baginya, pendidikan sangat penting bukan sahaja sebagai nilai tambah dalam diri, bahkan membuatkan minda lebih terbuka luas.

rezeki Trisha Ooi

“Banyak perkara yang kita belajar melalui pengalaman dan ada juga yang tidak dapat belajar daripada pengalaman.

“Saya percaya pendidikan plus pengalaman menjadikan kita lebih baik dari segi adab dan perwatakan serta bagaimana kita menangani sesuatu,“ katanya yang fasih berbahasa Mandarin.

Kontroversi

Iklan

Sebagai artis baharu yang semakin meningkat naik, Trisha akui dirinya tidak terlepas daripada terpalit dengan kontroversi watak Sui Li dalam filem Pagari Bulan tersebut.

Dengan penuh rendah diri, Trisha menerima teguran dengan hati terbuka dan menjelaskan, semua itu adalah demi menjayakan lakonan semata-mata.

rezeki Trisha Ooi

“Bagi Trisha, selagi tiada babak yang melampaui batas yang ditetapkan sebagai pelakon, saya akan berusaha untuk menjiwai watak sebaik mungkin.

Baca juga Dayah Bakar kongsi momen sebagai isteri pejuang negara. ‘Pengorbanan ibu ibarat ladang pahala, saham akhirat’

“Sudah menjadi impian saya untuk mengikut jejak langkah Tan Sri Michelle Yeoh satu hari ini. Sekarang ini, saya juga sedang intai peluang industri lakonan negara jiran seperti Indonesia,“ katanya yang memberitahu soal jodoh bukanlah satu keutamaan buat masa kini.

rezeki Trisha Ooi

Saat ditanya mengenai kontroversi yang melanda rakan artis, Trisha akui dirinya lebih suka mengambil pendekatan mendiamkan diri berbanding berkongsi di media sosial.

“Tak mustahil hari ini kita bercakap pasal aib orang, entah esok lusa orang pula bercakap pasal kita. Sebab itu, saya lebih selesa menjaga kekurangan diri dan banyak lagi benda perlu dibaiki,“ katanya.

rezeki Trisha Ooi

Sebelum menutup perbualan, Trisha turut menitipkan kata-kata nasihat kepada anak muda yang mahu berjinak-jinak dalam industri hiburan.

“Bukan mudah untuk survive dan kekal relevan dalam industri seni. Paling penting, niat dan minat kita. Jangan buat kerja separuh jalan dan jadikan minat sebagai pengejar impian.“

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee