TRAGIS. Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di Amerika Syarikat diagnosis diabetes akibat kecuaian ibu bapanya yang gagal dalam penjagaan kesihatan dan makanan bayi tersebut hingga membawa maut.

Wanita itu, Tamara Banks, 41, didakwa mengawal diet anaknya, Karmity Hoeb tetapi kerap memberi minuman berkarbonat dalam botol susu.

Penolong Pendakwa Daerah Clermont, Clay Tharp berkata, hampir semua gigi Karmity reput dan tiada bukti menunjukkan Tamara membawa bayi itu berjumpa doktor gigi.

“Kanak-kanak ini tidak perlu mati, ia adalah salah satu kes paling tragis yang pernah saya uruskan.

“Dia menghidap diabetes tetapi tidak didiagnosis dan dirawat dalam tempoh yang lama,” katanya.

Bayi itu ditemui tidak bertindak balas pada Januari 2022.

Bapa Karmity, Christopher Hoeb, 53, kemudian menghubungi talian kecemasan 911 dan kanak-kanak terbabit dikejarkan ke Hospital Pusat Perubatan Kanak-kanak Cincinnati.

Iklan

Doktor bagaimanapun mengisytiharkan otak anak mereka mati dan akhirnya alat sokongan hidup ditanggalkan.

Berikutan itu, Tamara dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun selepas mengaku bersalah pada Mac lalu.

Iklan

Christopher juga didapati bersalah dan keputusan hukuman dijadualkan pada 11 Jun ini.

Pasangan suami isteri itu didakwa atas tuduhan pembunuhan tanpa sengaja.