SEKURANG-KURANGNYA 14 orang terbunuh dan lebih 60 lagi cedera selepas papan iklan gergasi runtuh akibat ribut di bandar Mumbai, India.

Menurut polis, papan iklan berukuran 70 kali 50 meter itu jatuh ke atas kediaman dan stesen minyak di bandar itu pada Isnin minggu lalu.

Rakaman di saluran berita tempatan menunjukkan papan iklan tersebut bergoyang ditiup angin sebelum tumbang dan jatuh ke atas bangunan berhampiran jalan yang sedang sesak.

Rentetan daripada itu, beberapa kenderaan turut remuk dan rosak dalam kejadian tersebut.

Anggota penyelamat bertungkus-lumus membawa keluar mangsa daripada bawah papan iklan dengan menggunakan alatan kuasa tinggi bagi memotong besi logam.

“Kami telah menyelamatkan kira-kira 80 orang, ada sebuah kereta merah yang rosak teruk, kami mengesyaki ada beberapa orang masih terperangkap di bawah,” kata seorang pegawai.

Seorang mangsa, Akshay Vasant Patil, 20 berkata, beliau sedang menunggu di dalam keretanya di stesen minyak berkenaan ketika ribut melanda.

“Saya menyedari papan iklan itu terjatuh dan cuba keluar tetapi tersepit.

“Namun, saya berjaya keluar bersama lapan hingga sembilan mangsa kecelakaan itu,” katanya.

Iklan

Ibu mangsa kepada Bharat, 24, yang maut dalam kejadian tersebut, berkata, anaknya tumpang berteduh di bawah jambatan berhampiran papan tanda tersebut kerana hujan lebat.

“Dia dalam perjalanan ke tempat kerja waktu itu sebelum berhenti sekejap. Kemudian, papan iklan itu jatuh dan menghempapnya hingga mati,” katanya yang dikenali sebagai Naina Vinod Rathod.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di aplikasi X, pihak berkuasa sivik Mumbai memaklumkan, angin kencang telah menyebabkan kawasan lumpuh dan polis, bomba serta pasukan tindak balas bencana negara diarah untuk operasi menyelamat.

Iklan

Pihak berkuasa juga mendakwa agensi yang memasang papan iklan gergasi itu tidak mempunyai kebenaran.

Notis telah dihantar kepada syarikat itu dan meminta mereka mengalih semua papan tanda iklan sedemikian berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan ketua menteri Maharashtra Devendra Fadnavis berkata, kerajaan negeri akan memberikan bantuan kewangan sebanyak 500,000 rupee ($5,987) kepada keluarga yang terbunuh dan cedera dalam stesen minyak di itu.