BAYI malang berasal dari Pakistan yang dijumpai dalam kotak kadbod oleh sepasang suami isteri kini seorang gadis cantik dan menjadi antara pempengaruh terkenal di China.

Wanita berusia 20 tahun itu telah mengumpul lebih 750,000 pengikut Douyin (TikTok) dengan video menerima tontonan tinggi.

Influencer yang dikenali sebagai Fan Zihe diambil sebagai anak angkat oleh ibu bapanya yang berasal dari negara matahari terbit itu.

Beliau dikatakan ditemui dalam kotak kadbod di jalan di Pakistan.

Pada waktu itu, ibu bapanya bekerja di negara tersebut dan mereka memutuskan untuk mengambil Fan sebagai anak angkat.

Pasangan berkenaan kemudian membawanya pulang bersama ke kampung di kawasan pedalaman wilayah Henan, China.

Mereka menamakannya Fan Zihe bermaksud bertuah, kuat dan berumur panjang.

Gadis itu bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapanya kerana menganggapnya sebagai anak kandung mereka.

Malah, dirinya memasang impian untuk membeli rumah pangsa untuk mereka di bandar suatu hari kelak.

Iklan

“Orang kata, mencintai seseorang adalah seperti menanam bunga. Saya rasa tukang kebun yang terbaik ialah ibu bapa saya,” kata Fan dalam salah satu videonya.

Menurut Berita Pingdingshan Henan, beliau memperoleh kira-kira 4,000 yuan (RM2,600) sebulan hanya daripada akaun TikTok.

Gajinya lebih tinggi daripada gaji purata seorang petani di China.

Iklan

Pada 2022, purata pendapatan petani Cina memperolehi kira-kira 1,678 yuan (RM1,090) sebulan.

Fan menjadi viral pada 2021 selepas salah satu video memaparkan dirinya mencangkung di hadapan rumah kampungnya sambil makan mi Henan.

Sejak itu, pengikutnya menggelarnya sebagai ‘Henan’s Cleopatra’ kerana mempunyai ciri-ciri supermodel.