SETIAP perkara yang berlaku pasti ada hikmah. ‘Penangan’ kemelut rumah tangga, mendatangkan rezeki mencurah-curah kepada penyanyi dan pelakon, Bella Astillah.

Selepas pulang daripada mewakili Malaysia melakukan persembahan di Wuhu Shenshan Music Festival 2024 di China baru-baru ini, isteri kepada selebriti Aliff Aziz itu, menerima kejutan apabila bakal dihadiahkan sebuah skuter elektrik pada penghujung bulan ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh peneraju GGR Motor, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi dalam satu program Sambutan Hari Raya GGR IRAMA di Kampung Sungai Penchala baru-baru ini.

Syarikat berkenaan juga berhasrat untuk melantik Bella sebagai duta.

Menurut anak kelahiran Sabah itu, beliau memang bercadang untuk membeli sebuah motosikal untuk kegunaan harian bagi menghantar anak sulungnya, Mohamad Ayden Adrean, yang kini berusia tujuh tahun ke sekolah.

Bagaimanapun, hasrat itu masih tertangguh atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

“Saya anggap semua ini rezeki dan hadiah. Sebelum ini pun saya ada rancang nak beli tetapi asyik tertangguh.

“Lepas ini, bolehlah saya kongsi pengalaman hantar Ayden ke sekolah naik motor,” katanya dalam keadaan teruja.

Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah itu sempat ditanya mengenai permohonan maaf terbuka yang dibuat Ruhainies dan status hubungannya dengan wanita berasal dari Singapura, Sarah Yasmine.

Bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya tersebut mengambil pendekatan untuk enggan mengulas lanjut.

“Alhamdulillah, saya okay. Saya minta maaf banyak sebab sekarang ini hendak fokus kepada perbicaraan (kes cerai) di mahkamah dan karier sahaja.

Iklan

“Jadi, saya minta doakan yang baik-baik,” katanya.

 

Tambah Bella, beliau bersyukur selain dua anak iaitu Ayden dan Ara Adreanna, 4, ibu tercinta, Siti Zarina Astillah juga sumber kekuatan dan penguat semangat untuk dirinya dalam menghadapi masalah

Iklan

“Mama sekarang kembali mengikut saya ke mana-mana majlis.

“Mama yang banyak memberi sokongan dan penguat semangat untuk saya terus melangkah,” jelasnya.

Kisah rumah tangga Bella dan Aliff kembali hangat apabila suaminya itu ditangkap khalwat bersama Ruhainies di sebuah kondominium mewah, di ibu kota pada Mac lalu.

Rentetan daripada itu, Bella menfailkan penceraian buat kali kedua dan turut memdedahkan menjadi mangsa kecurangan Aliff sebanyak 12 kali.