PERKONGSIAN pendaki rakyat Malaysia, Zainudin Lot, 48 tatkala berkongsi detik akhir menemani jenazah rakannya yang terkandas di Gunung Denali, Alaska di Amerika Syarikat selepas menakluki puncak gunung itu pada 27 Mei jam 11 malam waktu tempatan cukup menyayat hati.

Manakan tidaknya, lelaki berusia 48 tahun itu terpaksa berdepan dengan jenazah rakannya sendiri selama dua hari sebelum tibanya bantuan.

Memetik laporan Harian Metro, sebaik sahaja rakan pendaki mereka, Muhammad Illaham Ishak, 48, mengambil keputusan turun ke Kem 5 4,330 meter (m) dari kawasan berhampiran puncak Denali (5,181m), beliau mendapati arwah Zulkifli sudah mempunyai simptom ederma serebrum beraltitut tinggi (HACE) dan sudah berhalusinasi.

“Dalam perjalanan turun itu pada 28 Mei awal pagi saya mendapati tingkah laku Zulkifli sudah kelihatan berhalusinasi dan saya meminta dia bertenang dan berjalan turun mengikut kemampuan sambil dipantau saya di belakang kerana perjalanan turun lebih teknikal memerlukan bantuan tali keselamatan.

“Ketika itu, keadaan arwah serba tidak kena. Sekejap dia mampu berjalan, sekejap dia mendakwa tidak mampu bergerak. Jadi, bersandarkan pengalaman saya ia adalah simptom HACE. Jadi, saya meminta Zulkifli bertenang supaya kami dapat meneruskan perjalanan turun ke Football Fields,” katanya.

Dalam beberapa meter menghampiri Football Fields, Zulkifli sekali lagi meminta untuk berehat dan ketika itu seorang renjer Taman Negara (NPS) kebetulan melalui lokasi itu bersama kumpulan pendaki lain bertemu mereka.

“Renjer berkenaan memberitahu bahawa mereka sudah pun mendapat maklumat mengenai kecemasan dalam kumpulan kami. Namun, bantuan helikopter tidak dapat diberikan memandangkan keadaan cuaca buruk menyebabkan helikopter tidak boleh mendarat.

“Pada masa sama, ada seorang lagi renjer yang datang dan membuat satu lubang untuk kami bertahan atau bivouac yang boleh memuatkan saya dan Zulkifli masuk ke dalam itu bagi berlindung sementara mendapat bantuan lain,” katanya.

Jelasnya, ketika itu keadaan Allahyarham tidak stabil dari segi tingkah lakunya. Malah, mengalami serangan ketakutan melampau (anxiety) untuk masuk ke dalam bivouac.

“Saya terus minta Zulkifli bertenang dan yakin bantuan akan tiba. Namun pada waktu malam, keadaan menjadi semakin tegang apabila Zulkifli masih dalam keadaan serba tidak kena dan berhalusinasi.

“Saya mengingatkan arwah supaya kami hanya tidur-tidur ayam kerana khuatir keadaan menjadi lebih buruk jika terus tertidur di altitud tinggi yang melebihi 5,000m. Ketika itu, kami meminta maaf berkali-kali sesama sendiri jika ada antara kami yang pergi dulu dan terus berdoa supaya kami mampu bertahan,” katanya.

Jelasnya, keadaan ketika itu keadaan amat kritikal kerana mereka sudah kehabisan makanan dan minuman dan kami hanya makan ais untuk terus hidup.

“Renjer memberikan kami ubat dan suntikan Dexamethadon sebelum kami masuk ke lubang salji.

“Namun, renjer berkenaan menuju ke High Camp dan memaklumkan sudah mengaturkan bantuan helikopter untuk menyelamatkan kami keesokan harinya,” katanya menceritakan keadaan itu ketika dihubungi Harian Metro.

Kongsinya lagi, pada 29 Mei, keadaan bertambah buruk apabila salji turun tanpa henti menyebabkan mereka terpaksa berada di dalam bivouac itu dengan muka bersalji kerana lubang berkenaan tidak bertutup sepenuhnya.

“Apabila kehabisan bekalan makanan, keadaan Zulkifli menjadi semakin kritikal dan sangat lemah dan ketika ini saya sempat memberikan Zulfikli ubat Ibu Profen untuk mengurangkan tekanan HACE.

“Saya katakan kepada arwah, aku tak akan tinggalkan kau walau apa pun berlaku, aku tetap dengan kau. Kita akan turun sama-sama dari gunung ini,” katanya.

Sekitar jam 5.50 pagi waktu tempatan, Zulkifli menumbuk badannya berkali-kali dalam keadaan yang lemah dan dia seperti meracau.

“Saya minta dia mengucap dan keadaan itu amat sebak kerana saya tidak boleh lakukan apa-apa selain meminta dia bertenang. Sehinggalah dia tidak sedarkan diri dan saya masih berusaha menepuk badannya supaya dia sedar. Pada jam 5.59 pagi saya dapati, nafasnya sudah tiada,” katanya.

Zainudin berkata, menyedari Zulkifli sudah tidak bernafas, dia hanya memeluk jenazah sepanjang masa dan sentiasa berdoa supaya bantuan tiba secepat mungkin kerana keadaan dirinya juga semakin lemah.

Iklan

“Dua malam saya tidur memeluk jenazah Zulkifli . Saya hanya dapat berdoa dan sudah reda jika bantuan tidak tiba mungkin ajal saya juga di sini. Ketika itu, saya juga ada ternampak helikopter tetapi mereka tidak dapat mendarat kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

“Saya hanya mampu menjerit dari dalam bivouac. Akhirnya pada sekitar jam 7 pagi 31 Mei, helikopter datang membawa bakul yang tergantung (high rope line rescue) dan di dalam bakul yang tergantung itu hanya boleh memuatkan seorang penumpang sahaja,” katanya.

Tambahnya, selepas mengambil kira keadaan semasa, memandangkan Zulkifli sudah meninggal dunia dan kesukaran menurunkan jenazah, Zainudin turun terlebih dahulu untuk mendapatkan rawatan kerana dia sudah mengalami luka beku dan hipotermia.

“Sekarang saya berada hospital di Talkeetna. Lima jari kanan saya mengalami luka beku dan usaha untuk membawa turun jenazah Zulkifli masih dilakukan buat masa ini kerana cuaca di sekitar Gunung Denali sukar untuk diramal terutama keadaan angin.

“Jika pasukan keselamatan tidak dapat membawa saya turun pada hari ini, mungkin saya juga tiada pada hari ini,” katanya.

Sumber gambar : Harian Metro

Iklan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di XInstagramThreads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang