TANGGUNGJAWAB merupakan tugas besar seseorang individu terhadap sesuatu beban atau tugas.

Semua sedia maklum, setiap manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing terhadap diri, keluarga dan kehidupan.

Antara tanggungjawab yang besar kepada seorang anak adalah ibu dan bapa. Pun begitu, dalam perihal tanggungjawab kepada ibu bapa mentua pula bagaimana?

Baca juga ‘Mertua yang awesome, inspirasi untuk semua.’ Tutup pantang 44 hari, Sheila Rusly layan selera menantu teringin mi kari

Sebagai menantu, perlukah seseorang itu menanggung ibu bapa mentuanya sepertimana dia menanggung keperluan kedua ibu bapanya sendiri?

Adakah menantu itu perlu mengikuti segala arahan mentua contohnya seperti tolong membayarkan hutang salah seorang anaknya atau dengan kata lain, adik iparnya?

Memperincikan jawapannya, pendakwah Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, setiap insan mempunyai tanggungjawab masing-masing terhadap keluarga sendiri.

Jelasnya, syariat telah membataskan tanggungjawab seseorang ke atas keluarganya dalam memberi nafkah sebagaimana yang ditentukan oleh syarak. Apatah lagi, jika ia melibatkan hak seseorang.

“Menurut pembacaan saya yang terhad, setakat ini tiada mana-mana mazhab atau ulama menyatakan bahawa ibu dan bapa mentua merupakan tanggungjawab menantu untuk memberi nafkah.

“Namun begitu, Mazhab Hanafi spesifikasikan tanggungjawab tanggungan nafkah lebih luas berbanding tiga mazhab yang lain. Bagaimanapun, mentua tidak termasuk di dalam senarai (berkenaan),” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Baca juga Menantu kurang cantik, ibu mentua suruh batalkan perkahwinan

Gambar fail.

Ustaz Syed Shahridzan turut mengemukakan pandangan Mazhab Syafie sebagaimana yang disebut Sheikhul Islam Zakaria al-Ansari dalam karangannya, ‘Asna al-Matolib.

Jelas ilmuan berkenaan: “Sesungguhnya yang hanya diwajibkan nafkah kepada kaum kerabat yang bersifat punca dan pecahan keturunan iaitu FURU’ (anak, cucu, cicit) dan yang ke bawah dan USUL (bapa kandung, ibu kandung, datuk, nenek) dan yang ke atas sahaja, iaitu tidak termasuk kaum keluarga yang lain seperti adik-beradik lelaki, adik-beradik perempuan, pak cik, mak cik sama ada lelaki mahupun perempuan, sama ada yang tergolong daripada pewaris harta atau tidak.”

Berdasarkan pernyataan itu, kata Ustaz Syed Shahridzan, begitu jelas dinyatakan bahawa ibu bapa mentua tidak termasuk ke dalam tanggungjawab nafkah bagi seorang menantu. Ia termasuklah juga dengan ipar-duai.

“Ini kerana kedua-duanya bukan tergolong daripada keluarga punca (darah daging atau punca kelahiran). Oleh itu, menjadi kewajipan bagi setiap Muslim mengetahui batas tanggungjawab nafkah masing-masing agar tidak mencabuli hak orang lain.

‘Dalam hal ini, seorang menantu tidak wajib menanggung ibu bapa mentua tidak seperti kewajipannya menanggung (kedua) ibu bapa kandungnya yang miskin. Apatah lagi hutang ipar-duai bukanlah menjadi kewajipannya, bahkan ia membebankan (dirinya). Sedangkan dia ada tanggungan dan kewajipan nafkah yang perlu dilunaskan iaitu anak-anak, isteri dan ibu bapa kandung,”jelas beliau.

Selain itu, bagaimana jika menantu tadi membantu melunaskan hutang ipar-duainya sehingga menjejaskan hak anak dan isterinya?

Jawab Ustaz Syed Shahridzan, jika perkara itu berlaku, maka tindakan individu itu melunaskan hutang berkenaan adalah haram kerana hak yang sepatutnya tidak diberikan kepada yang berhak.

“Oleh itu, jika si menantu itu melunaskan hutang atas arahan ibu mertuanya, maka ketaatan itu adalah salah di sisi syarak kerana menjejaskan hak orang lain,” ujarnya.

Baca juga Beruntung! Wanita diceraikan suami, layanan mentua kekal seperti menantu buat ramai tersentuh

wanita

Iklan

Tanggungjawab menantu

Hormatilah ibu bapa mentua sebagaimana kita menghormati kedua orang tua kita.

“Ketaatan tidak sepatutnya dituruti dalam perkara yang mengingkari perintah ALLAH,” katanya.

Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW: “Tidak ada ketaatan terhadap manusia dalam urusan maksiat kepada ALLAH, ketaatan hanya pada perkara yang maaruf”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Memang tidak dinafikan bahawa ibu bapa mentua ada hak terhadap menantu, namun hak tersebut tidak boleh disamakan dengan hak ibu bapa kandung terutama bab yang berkaitan dengan nafkah dan hutang piutang, terang beliau.

“Malah, jika ibu bapa kandung sendiri mengarahkan anaknya menanggung hutang adik-beradiknya, maka si anak tidak wajib menuruti perintah ibu bapanya itu.

Iklan

Baca juga Betul ke menantu jadi kalut bila masak depan mertua?

“Ini kerana hutang adik-beradik bukan tanggungjawabnya dan ibu bapa kandung tiada hak untuk menentukan tanggungjawab nafkahnya.

“Hanya ALLAH dan rasul-NYA sahaja yang berhak menentukan. Jika ibu bapa kandung tiada hak sebegini apatah lagi ibu bapa mertua, ia tidak sewajarnya berlaku,” jelas beliau.

Semoga jawapan ini dapat meleraikan kekusutan kita dalam perihal batasan tanggungjawab menantu terhadap mentua.

Sumber: Facebook Syed Shahridzan Ben-Agil, Sinar Islam Plus

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.