GENRE filem sains fiksyen yang berkonsepkan ‘time travel’ atau pengembaraan masa sudah kerap dihasilkan terutama sekali filem-filem Hollywood.

Malah dunia perfileman tempatan juga pernah muncul dengan sebuah filem pengembaraan masa iaitu XX-Ray 2 yang mendapat sambutan penonton.

Terbaharu, sebuah filem yang menggunakan konsep sama berjudul Antaramasa bakal menemui penonon tidak lama lagi.

Filem terbitan Umair Mohamed dan Amir Rashid Othman di bawah syarikat Lux Ambiance Media Production itu menampilkan barisan pelakon seperti Josiah Hogan, Kaka Azraff, Adam Shahz, Riezman Khuzaimi, Indi Nadarajah dan Tania Hudson.

Pengarah dan pelakon, Aziz M. Osman dan Aleeza Kasim turut membuat penampilan istiemwa dalam filem Antaramasa.

Berkongsi mengenai pembikinan file mini, Umair berkata, idea untuk menghasilkan filem berkenaan timbul berikutan minatnya yang cukup mendalam kepada genre sains fiksyen.

“Saya dan pengarah filem ini memang sejak dahulu amat meminati filem-filem sains fiksyen seperti Oblivion, The Butterfly Effect, XX-Ray dan lain-lain.

“Jadi, semasa kami sedang mengeluarkan idea untuk memilih jenis filem yang kami ingin buat, Antaramasa menjadi pilihan pertama. Ketika itu judul asalnya adalah Paradox,” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai Antaramasa, Umair memberitahu ia lebih menjurus kepada kisah sains fiksyen dengan menerapkan elemen cinta menerusi jalan ceritanya.

“Bagi saya, elemen cinta sememangnya menjadi satu tarikan utama untuk penonton sekiranya ia digarap dengan begitu baik.

“Lagipun jalan cerita filem ini mudah untuk difahami, iaitu mengenai pemuda bernama Asri yang menggunakan mesin masa yang dicipta dan kembali ke masa lalu supaya dapat memulihkan hubungan dengan kekasihnya,” ujarnya.

Tambah Umair, 45 peratus babak dalam filem sains fiksyen arahan Ramdan Che Hassan itu menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) serta menggunakan bajet yang besar dari segi penataan seni kerana melibatkan pembinaan set.

“Kami berharap filem ini dapat meningkatkan lagi minat terhadap penerbitan filem sains fiksyen dan juga memperluaskan lagi penggunaan CGI/VFX dalam filem-filem di negara ini.

“Lagipun di Malaysia sebenarnya terdapat ramai tenaga kerja dalam bidang CGI yang amat berbakat dan kami juga adalah peminat filem sains fiksyen,” ujarnya.

Salur keuntungan pada yang memerlukan

Dalam pada itu tambah Umar, Lux Ambiance juga sedang merancang program bersama Ikhlasdotcom untuk menyalurkan sebahagian daripada keuntungan filem Antaramasa bagi membantu mereka yang amat memerlukan dan terjejas dengan keadaan kawalan pergerakan sekarang.

Iklan

Sementara itu, Ramdan selaku pengarah pula menyatakan idea pembikinan filem ini timbul pada tahun 2014 dia mengambil masa selama tiga bulan untuk menyiapkan skrip.

Ramdan memberi penjelasan kepada kru produksi.

Jelasnya, pembikinan filem berkenaan agak mencabar daripada peringkat awal, termasuk bermula sejak penghasilan skrip lagi.

“Tidak dinafikan filem ini sangat mencabar, baik dari segi skrip, ketika penggambaran sehinggalah pasca produksi.

“Misalnya, saya perlu mengkaji banyak teori fizik kuantum dan theoretical serta merujuk banyak sumber-sumber berkaitan teori pengembaraan masa untuk mencari teori yang paling sesuai untuk dijadikan landasan dan peraturan dalam filem ini,” ujarnya.

Penggambaran berlangsung selama 24 hari di beberapa buah lokasi seperti sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Nilai pada tahun 2014.

Iklan

Filem Antaramasa akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 1 Julai 2021 dan untuk melanggan sila ke saluran 480 atau boleh juga boleh distrim di Astro Go atau On Demand.

Antaramasa mengisahkan Asri, seorang sarjana dalam bidang sains fizik telah membina sebuah mesin tenaga abadi, iaitu mesin yang tidak akan habis menjana tenaga tanpa menggunakan bahan mentah.

Keadaan jadi menarik apabila mesin ciptaanya itu juga mampu membawa Asri kembali ke masa lalu. Kemudian, dia menggunakan mesinnya itu beberapa kali untuk kembali ke masa lalu bagi memulihkan hubungannya dengan kekasihnya iaitu Malisa.

Asri menggunakan kelebihannya untuk kembali ke masa lalu dan memperbaiki hubungan dengan kekasihnya, Malisa.

Setiap kali Asri kembali ke masa lalu, setiap langkah dilakukan untuk mengubah nasibnya, Asri mengubah sejarah hidup bukan saja untuk dirinya tetapi untuk seluruh garis masa alam yang sentiasa menghalang cintanya.

Tanpa disedari, Asri telah mencipta sebuah paradoks masa dan dunianya sudah berubah. Persoalannya, adakah Asri mengubah garis masanya sendiri ataupun adakah semuanya takdir?