“Belum rezeki,” itulah yang dikatakan pelakon dan usahawan popular, Syatilla Melvin apabila hasratnya untuk menimang cahaya mata ketiga tidak kesampaian setelah mengalami keguguran ketika kandungan memasuki usia lapan minggu.

Menurut Syatilla atau nama penuhnya, Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 30, perkhabaran duka itu baru sahaja diketahui ketika membuat rutin pemeriksaan degupan jantung kandungan di sebuah klinik pada Selasa.

“Saya baru dapat tahu hamil anak ketiga dalam dua bulan lalu. Bagaimanapun ketika membuat pemeriksaan degupan jantung semalam (Selasa), doktor sahkan perkembangan janin terbantut dan tidak membesar sebagaimana sepatutnya,” katanya.

Syatilla ditemui di majlis pelancaran LB Creuset X Syatillah Melvin Nasi Daging Telentang yang diadakan di Hotel Eastin, Petaling Jaya pada Rabu.

Meski sedih dengan apa yang berlaku, Syatilla bagaimanapun akur dan menganggap tiada rezeki dia dan suami, Shaheizy Sam untuk menimang anak ketiga buat masa ini.

“Sebenarnya saya memang tak merancang untuk anak ketiga ini, tapi bila dapat tahu hamil memang saya dan suami gembira sangat.

“Malah Syeriv (anak sulung) pun teruja sehinggakan setiap hari cium perut saya kerana tak sabar nak jumpa adik baru.

Iklan

“Jadi bila doktor memaklumkan perkara tersebut semalam, Sam terdiam sekejap. Bagaimanapun dia menerima semua ini dengan positif dan anggap bukan rezeki kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon Sha & Shah itu mendedahkan keguguran kali ini merupakan pengalaman kali ketiga buatnya.

“Sebenarnya ini adalah keguguran saya yang ketiga. Sebelum Syeriv, saya pernah keguguran sekali dan kali kedua sebelum Sarima.

Iklan

“Kali ini pengalaman mungkin sedikit berbeza kerana saya perlu melalui proses mencuci rahim, sekiranya janin tidak jatuh sendiri dalam masa terdekat ini,” jelasnya.

Syatilla dan Sam berkahwin pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, 4, dan Sarima Samheizy yang kini berusia setahun.