DI kala kebanyakan usahawan masih lagi bekerja keras untuk memperkukuhkan perniagaan dan empayar mereka, penyanyi Jaclyn Victor mengambil langkah berani untuk membuka sebuah restoran di Jalan Telawi, Bangsar.

Restoran dan lounge yang diberi nama B.A.T.S atau singkatan kepada Bar at Telawi Street itu di buka bersama dua orang sahabat iaitu Geoff Leembruggen yang juga pemilik asal B.A.T.S dan Shankar.

Cerita Jaclyn atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 42, dia mendapat panggilan telefon dari Geoff  yang mengajaknya untuk menjadi rakan kongsi dan membuka semula B.A.T.S selepas kerajaan memberi kelonggaran kepada sektor perniagaan makanan beroperasi.

Mengakui tidak tahu dari mana kegilaan dan keberanian itu timbul untuk menjebakkan diri dalam dunia perniagaan, Jaclyn yang mesra di sapa dengan panggilan Jac menganggap ia sebagai sebuah impian yang menjadi kenyataan.

“Saya dan Geoff berkenalan selepas dia melanggar kereta saya akhir tahun lalu berhampiran Bangsar. Selepas insiden itu, dia ada mengajak saya ke salah sebuah restorannya.

“Tidak lama selepas itu, Geoff menghubungi saya lagi dan bertanya adakah saya berminat untuk menjadi rakan kongsi dan membuka semula B.A.T.S.

“Saya rasa saya tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran itu dan jika di tanya apa yang mendorong saya untuk mengambil langkah berani ini, saya pun tiada jawapan. Tapi bagi saya kalau kita rasa ini masanya untuk membuat perubahan, mengapa tidak untuk ambil peluang itu.

“Saya berasal dari dunia nyanyian di restoran, bar. Walau tidak pernah terfikir untuk memiliki sebuah restoran suatu hari nanti, tapi ia ibarat impian yang menjadi kenyataan untuk memiliki sebuah restoran  dan saya boleh membuat persembahan bila-bila masa yang sama mahu,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian B.A.T.S Restaurant and Lounge miliknya yang terletak di Bangsar baru-baru ini.

JACLYN VICTOR
Jaclyn menyifatkan sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan dalam hidup dengan pembukaan B.A.T.S Restoran & Lounge.

Tidak hanya membuka sebuah restoran yang menyajikan makanan dan minuman yang menarik, Jaclyn berkata, dia juga turut mencampurkan elemen muzik dan menyokong usaha pemuliharaan binatang liar dalam satu bumbung.

“Selepas mencapai kata sepakat, kami mengambil masa 15 hari sahaja untuk melakukan proses ubah suai dan membuka restoran ini pada 29 Jun lalu.

“B.A.T.S tampil dengan konsep baru yang elegan dengan reka bentuk minimalis tetapi orang akan berasa seperti berada di lounge hotel.

“Saya juga berkeras untuk membeli sebuah piano mini dan saya berharap semua pemuzik dapat berkumpul di bawah satu bumbung di sini.

“Dalam erti kata lain, saya sangat mengalu-alukan mereka yang mempunyai bakat dalam dunia nyanyian dan mahu saya berkongsi ilmu, boleh datang ke sini.

Iklan

“Kami juga menyokong penuh usaha pemuliharaan hidupan liar menerusi penjualan gambar hasil bidikan jurufoto Sanjitpaal Singh di sini.

“Hasil penjualan gambar hidup liar itu akan disalurkan kepada GAIA, sebuah syarikat pemuliharaan di Malaysia,” jelasnya yang memaklumkan ketua chef restoran berkenaan adalah Mohd Izriq yang sudah lebih 10 tahun bekerja dalam dunia kulinari.

Projek baharu

Dalam pada itu berkongsi perkembangan karier seninya, Jaclyn berkata, dia kini dalam proses menyiapkan single terbaharu bersama Aubrey Suwito.

Iklan

Katanya, selepas tiga tahun tidak tampil dengan lagu solo, dia mengambil inisiatif sendiri untuk mengeluarkan lagu baharu sendiri tanpa bantuan mana-mana label.

“Saya tak tahu bila lagu itu akan dikeluarkan, lebih-lebih lagi kita masih dalam tempoh kawalan pergerakan. Tapi perbincangan ini sudah lama dilakukan.

“Kali ini, saya ambil keputusan untuk buat semua sendiri tanpa bantuan mana-mana syarikat rakaman. Saya juga ada terlibat secara langsung dalam proses penghasilan lirik.

“Apa yang boleh saya katakan, saya akan cuba untuk keluarkan lagu tersebut tahun ini juga,” katanya.

JACLYN
Bakal mengubati rindu peminat setelah empat tahun tidak tampil dengan single baharu.