ANAK gadis bekas penyampai radio dan pengacara popular, Halim Othman iaitu Myra Natasya, 29, mendedahkan bahawa beliau sebenarnya adalah anak tidak sah taraf.

Jurulatih pasukan sorak itu berkongsi perkara itu menerusi laman sosial Instagram. Pada masa sama beliau memaklumkan sebelum ini berbohong kepada wartawan bahawa ibunya dan Halim berkahwin di Thailand sedangkan mereka tidak pernah berkahwin.

Namun, beliau terpaksa merahsiakan perkara itu demi menjaga nama baik bapanya.

“Ibu bapa saya tidak pernah berkahwin pun! Apabila saya ceburi bidang seni, saya beritahunya supaya jangan risau dan akan lindungi nama baiknya dan beritahu kepada media mereka bernikah di Thailand.

“Saya terpaksa menipu ketika membuat kenyataan kepada media tetapi hakikatnya saya adalah anak tak sah taraf,” katanya kepada portal mStar.

Baca juga: Penantian 27 tahun, Syawal Istimewa Myra Natasya

Baca juga:Cara mudah tukar nama anak di JPN, mak-mak wajib tahu

Memetik laporan Harian Metro, sebelum ini berlakunya perselisihan faham antara dua beranak itu susulan tindakan Halim dipercayai memasukkan namanya pada bahagian maklumat bapa tiga tahun lalu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tanpa kebenaran Myra.

“Bagi saya benda sudah terjadi, cukuplah. Selepas pendedahan berkenaan saya berbintikan Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cari Halim untuk dapatkan butir lanjut.

“Ketika itu, dia tak nak buat apa-apa. Menurutnya, benda yang dah lepas biarlah dan kita ‘move on’ ke hadapan. Jangan diheret kisah-kisah lama,” katanya lagi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Myra Natasya (@myra.natasyaa)

Bekas pengacara Didik TV itu mendedahkan, sebelum ini selalu merayu kepada bapa untuk memberitahu beliau adalah anaknya.

Pada 2019, selepas mula menceburi bidang hiburan, baharulah beliau diizinkan mendedahkan cerita sebenar.

Myra turut mengakui perasaan kecewa dengan jawapan bapanya ketika ditanya berhubung tindakannya menukar sijil lahir asalnya.

Baca juga: Surat beranak ibu bapa atau sendiri dah lusuh &8 lunyai, ini cara mudah tukar baru di JPN

“Saya tak perlu minta izin awak (Myra). Tanpa gen saya, awak tidak akan wujud di dunia ini. Bersyukurlah,” tulis Halim kepada Myra.

Myra atau nama penuhnya Yusmyra Natasya berkata, Halim tidak sepatutnya meletakkan butiran itu kerana tidak berkahwin dengan ibunya.

Dalam temu ramah bersama Media Hiburan, Myra mendedahkan semasa berada di Jepun baru-baru ini, ibunya ada menghantar mesej mengatakan Halim telah mengubah maklumat pada sijil kelahiran beliau tiga tahun lalu.

“Saya terkejut bertanya kepada ibu bolehkah saya nak tengok surat beranak itu? Ibu berkata dia tidak menyimpan dokumen berkenaan dan perlu meminta daripada bapa. Apabila saya lihat (sijil kelahiran), ia sudah diubah. Saya jadi terkejut dan patah hati kerana selama ini pada ruangan butiran bapa dikosongkan.

“Nama saya dan ibu ada tetapi ruangan butiran bapa ditulis tidak dapat diperolehi maklumat. Apabila saya melihat maklumat selama 27, 28 tanun itu diubah saya tidak faham kenapa ia perlu ditukar. Apa motifnya?

“Jika ikhlas, kenapa ia perlu disembunyikan?” luahnya kecewa.

Beliau terdahulu dalam temu ramah dengan SinarPlus pada tahun 2022 memaklumkan pendedahan tentang status dirinya sebagai anak kepada bekas pengacara program Roda Impian itu kerana mahu menjalani kehidupan sempurna bersama figura bergelar bapa yang cukup disayangi sejak kecil.

Iklan

ANAK TIDAK SAH TARAF DARI SUDUT SYARAK

1-Menurut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-57 (2003) :

“Anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu, mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.”

2-Hendaklah di bin atau bintikan Abdullah atau nama-nama Asma al-Husna berpangkalkan Abdul.

3-Penjagaan, nafkah dan saraan hidup anak tidak sah taraf adalah dipertanggungjawabkan kepada ibunya dan saudara mara sebelah ibu sahaja.

4-Jika ibu berkahwin dengan lelaki ‘berkenaan’ atau lelaki lain, maka lelaki tersebut menjadi bapa tiri kepada anak tidak sah taraf wanita yang dikahwininya. Oleh itu, wuduk, aurat dan pergaulan bapa tiri dengan anak tiri (anak tidak sah taraf) seperti hubungan mahram dan mereka haram berkahwin.

5-Hubungan anak tidak sah tarafnya dengan bapa biologi (bapa tidak sah taraf) adalah seperti hubungan bukan mahram di mana wuduk terbatal (jika bersentuhan), aurat dan pergaulan perlu dijaga seperti hubungan ajnabi (orang luar).

Iklan

6-Perkahwinan anak tidak sah taraf perempuan mesti diwalikan oleh wali hakim. Bapa biologi tidak layak menjadi wali kepada anak tidak sah tarafnya.

7-Anak tidak sah taraf lelaki tidak boleh menjadi wali seperti susunan wali kepada anak-anak ibunya dan anak-anak bapa biologinya. Pemohonan wali hakim perlu dirujuk ke Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Agama Islam Daerah.

8-Ibu dan anak tidak sah taraf boleh mewarisi pusaka antara satu sama lain. Jika ibu meninggal dunia, maka anak berkenaan berhak mewarisi pusaka ibunya bersama-sama ahli waris sebelah ibunya dan sebaliknya.

9-Anak tidak sah taraf tidak boleh dinafikan haknya untuk bermasyarakat, bekerjaya, berkahwin dan mempunyai hak sama rata di sisi Islam.

Sumber: mStar, Harian Metro, KKM, Media Hiburan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!