SELEPAS 10 tahun menanti, impian vokalis Caliph Busker, Azmi Saat untuk bergelar bapa menjadi kenyataan apabila isterinya, Nazirah Muhammad selamat melahirkan cahaya mata lelaki, pada pagi Isnin.

Menurut Azmi, 37, bayi sulung seberat 3.3 kilogram itu lahir menerusi kaedah pembedahan di sebuah pusat perubatan di ibu kota.

“Alhamdulillah. Pukul 9:09 pagi tadi (Isnin), anak sulung saya telah selamat lahir ke dunia.

“Urusan pembedahan berjalan lancar. Macam-macam perasaan ada bila kali pertama terdengar suara bayi,” ujarnya menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Instagram.

Menerusi perkongsian sama, Azmi turut meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas doa-doa yang dititipkan buatnya dan keluarga.

“Syukur ya Allah. Moga saya dapat menjadi ayah yang baik. Terima kasih atas doa kalian yang tak putus-putus buat kami sekeluarga,” katanya.

Lebih istimewa bayi comel yang diberi nama Khairul Afnan itu berkongsi tarikh lahir sama dengan Azmi iaitu 27 September.

Iklan

“Awalnya isteri memilih bersalin normal. Namun, doktor menyarankan isteri bersalin secara pembedahan bagi mengurangkan risiko pada keselamatan bayi memandangkan kami sudah lebih 10 tahun menanti kehadiran cahayamata.

“Saya serahkan keputusan sepenuhnya pada isteri dan akhirnya isteri memilih untuk mengikut saranan doktor.

Iklan

“Doktor beri kami ruang untuk memilih tarikh bersalin. Sepantas kilat saya pilih 27 September sebab itu tarikh lahir saya,” kata Azmi.

Azmi dan isteri, Nazirah yang juga cacat penglihatan mendirikan rumah tangga pada 2011.