SIDANG media khas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bakal dibuat pada jam 3 petang hari ini, dinantikan seluruh rakyat Malaysia.

Ramai menjangkakan pengumuman itu membabitkan kebenaran aktiviti rentas negeri jika tahap vaksinansi lengkap seluruh negara mencapai 90 peratus seperti dalam kenyataan sebelum ini.

Beberapa selebriti negara juga turut menjangkakan perkara sama, bagaimanapun dalam masa sama, mereka berharap orang ramai akan terus patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagi penyanyi Wany Hasrita, dia mahu semua orang gunakan peluang diberikan dengan sebaik mungkin.

Wany Hasrita pesan orang ramai buat ujian sebelum pulang ke kampung.

“Andai dibolehkan rentas negeri, ayuh sama-sama gunakan peluang ini sebaik yang mungkin. Jangan terlalu gembira sampai lupa SOP.

“Nasihat saya, ambil langkah penjagaan sendiri sebelum pulang ke kampung dengan buat ‘self test kit’ dulu di rumah. Perlu diakui kita harus hidup bersama virus ini, jadi sentiasa peka jaga diri dan jaga SOP,” katanya.

Sementara itu, penyanyi Naim Daniel melahirkan rasa gembira jika pengumuman itu adalah kebenaran rentas negeri.

Naim Daniel

“Sejujurnya, saya gembira dan dalam masa sama tetap risau. Saya percaya di sosial media sudah lama orang tunggu dan betanya bila boleh rentas negeri.

“Kalau betul sidang media khas ini adalah pengumuman rentas negeri, saya harap semua orang jangan kelam kabut.

Iklan

“Saya tahu apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kena duduk rumah, perkara ini membuatkan ramai berada dalam tekanan selain tidak boleh berjumpa ibu bapa dan keluarga di kampung.

“Apa pun sekarang iini terpulang pada kita. Kena pastikan jangan sia-siakan peluang ini. Kalau ada yang nak masih cuba langgar SOP kena fikir. Kita kena cuba tingkatkan semula ekonmi balik selepas hampir semua sektor dibenarkan beroperasi. Jadi, jangan ambil kesempatan pada peluang ini,” ujarnya.

Senada dengan Wany dan Naim, penyanyi Khai Bahar juga berharap orang ramai akan terus patuh pada SOP.

Iklan
Khai Bahar

“Kalau memang boleh rentas negeri alhamduillah. Sebab semua tunggu saat ini. Cuma, kalau boleh jaga SOP.

“Malah, untuk keselamatan semua terutama ibu bapa dan keluarga yang kita nak jumpa, buat ‘self test kit’. Sebab kita tidak tahu keadaan kesihatan macam mana.

“Jadi, apabila sudah dibenarkan nanti kena jaga betul-betul. Jangan sudah boleh rentas negeri semua lupa,” katanya.