MENCARI keserasian yang padu untuk menjayakan lagu duet sememangnya bukan tugas mudah.

Keserasian itulah sebenarnya menjadi intipati penting untuk menentukan nasib sesebuah lagu sama ada berjaya mendapat sambutan pendengar atau tidak.

Cara sama juga diguna pakai oleh Naqiu, 35, dan Vanessa Raynauld, 21, menerusi lagu Rindu Separuh Nyawa.

Biarpun dua penyanyi ini hadir daripada generasi berbeza, apa yang pasti, paduan suara mantap dan kemampuan vokal kedua-duanya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Naqiu pernah menjadi juara program Gegar Vaganza musim keenam pada 2019, manakala Vanessa merupakan naib juara The Masked Singer Malaysia musim pertama tahun lalu.

Bercerita mengenai kerjasama mereka, Naqiu mengakui pada peringkat permulaan ada sedikit keraguan tentang paduan suara mereka, namun keraguan itu terlerai tatkala vokal mereka dirakamkan.

Bahkan Naqiu mengakui Vanessa adalah rakan duet yang tepat untuk Rindu Separuh Nyawa.

Perbezaan karakter suara mereka juga bukan penghalang besar, bahkan unik untuk runut bunyi drama Rindu Awak Separuh Nyawa itu.

“Sebagai komposer saya cuba tampilkan melodi yang boleh diterima masyarakat dan kena dengan emosi lagu Rindu Separuh Nyawa itu sendiri.

“Pada mulanya, saya agak kekok dengan Vanessa. Selepas beberapa jam, barulah kami dapat keserasian. Vanessa memiliki ilmu yang baik, jadi tidak susah untuk mendapatkan keserasian serta emosi lagu itu.

“Bahagian paling susah adalah bagaimana untuk menggabungkan suara kami disebabkan nyanyian kami memiliki karakter yang sangat berbeza memandangkan ini kali pertama kami bekerjasama.

“Bagaimanapun dengan bantuan jurulatih vokal, Afif Tirmizie, dia berjaya mencantikkan lagi gabungan suara kami selain memantapkan Rindu Separuh Nyawa secara keseluruhan.

Iklan

“Sebagai penyanyi dan komposer, saya harap lagu ini diterima dan begitu juga drama ini, selain melancarkan karier saya serta Vanessa. Insya-ALLAH, semoga lagu ini dapat menaikkan lagi semangat saya untuk menghasilkan lebih banyak lagu pada masa akan datang,” katanya.

Naqiu dan Vanessa mengakui agak ragu-ragu dengan paduan suara mereka pada awalnya, namun jangkaan mereka meleset sebaik selesai merakamkan lagu Rindu Separuh Nyawa.

Vanessa tertarik

Berkongsi lanjut, Vanessa pula akui dia paling tertarik dengan melodinya yang sangat mesra telinga. Bahkan, pertama kali dia mendengarnya, ia terus melekat di kepala.

“Pertama kali saya mendengar suara Naqiu, ia agak besar dan serak-serak basah, manakala suara saya pula bernada tinggi dan lembut.

Iklan

“Awalnya, saya takut suara kami tidak bersatu dengan baik. Namun selepas habis rakaman semua, rupanya gabungan suara kami menjadi.

“Semestinya saya sangat berterima kasih kepada Sony Music Malaysia dan Naqiu kerana memberi peluang untuk merealisasikan lagu duet pertama saya,” katanya.

Dalam pada itu, lagu Rindu Separuh Nyawa dipilih menjadi  runut bunyi drama Rindu Awak Separuh Nyawa, arahan Along Kamaludin di slot Megadrama, Astro Ria.