BERWAWASAN dan berdikari. Dua sikap tersebut cukup untuk menggambarkan profil diri, Sherry Ibrahim.

Tidak betah untuk duduk diam, Sherry atau nama sebenarnya, Syarizad Ibrahim mengakui melakukan pelbagai kerja dalam satu masa.

“Saya seorang yang ada visi. Bagi saya, sebagai seorang wanita, kita tidak boleh duduk menunggu sahaja. Tidak kira sudah berkahwin atau belum, kita kena ada matlamat untuk direalisasikan.

“Walaupun saya masih aktif berlakon, pada masa sama saya menguruskan perniagaan sendiri dan ada kerja lain juga. Semua urusan berkaitan bisnes diuruskan oleh saya sendiri tanpa mengharapkan bantuan,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Mic On Selebriti terbitan Awesome TV di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Bagaimanapun, tegas bekas pramugari itu, kesibukannya mencari duit bukan bererti dia tidak mengimpikan kehidupan sebagai seorang isteri, apatah lagi bergelar ibu.

Namun, terlebih dahulu wajib untuknya menjana pendapatan bagi perancangan jangka masa panjang.

“Kalau orang tanya saya, apa lagi yang mahu saya buat, saya memang mahu berkahwin. Usia saya kini 40 tahun, tipu kalau saya tak mahu settle down.

“Tiada apa yang perlu diselindungkan, cuma seru itu belum sampai. Saya tidak lupa berdoa. Saya percaya ALLAH SWT memahami dan Dia bagi saya bekerja dahulu,” ungkapnya yang gembira dengan kehidupan direntas sekarang.

Ditebak mengenai sosok tubuhnya yang kelihatan lebih kecil berbanding sebelum ini, anak kelahiran Kuala Lumpur itu menegaskan, dia tidak mengalami masalah kesihatan seperti diperkatakan oleh segelintir pihak.

Sebaliknya, kesibukan dan amalan gaya hidup sihat yang dipraktikkan sejak sekian lama membuatkan beratnya tidak naik.

“Ketika saya berumur 20-an hingga 30-an, saya ada misi untuk pastikan mempunyai berat badan ideal sebelum berusia 40 tahun. Orang kata bila kita sudah memasuki usia itu, bentuk badan kita akan kekal begitu.

“Jadi, saya memang menjaga pemakanan dan bersenam tiga kali seminggu. Namun, bila sibuk bekerja, saya hilang selera makan. Paling banyak pun, hanya jamah tiga sudu (makanan). Mungkin disebabkan itu berat saya tidak naik,” jelasnya yang kini mempunyai berat badan mencecah 46 kilogram sahaja.

Pengalaman

Sementara itu, mengulas mengenai penglibatannya dalam program Mic On Selebriti, Sherry berkata, ia merupakan pertandingan nyanyian ketiga yang disertainya sepanjang bergelar anak seni.

Iklan
Cantik… Sherry kekal cantik dan ramping pada usia 40 tahun.

Meskipun pernah bergelar naib juara dalam satu program nyanyian, pelakon dan pengacara itu belum berasa layak untuk bergelar penyanyi.

“Saya anggap peluang menyertai program seumpama itu sebagai salah satu cara belajar dan menimba pengalaman dalam industri muzik.

“Lagipun program ini berbeza dengan dua rancangan realiti sebelumnya, akan ada pengurus membantu dan mengajar saya nanti.

“Justeru, saya harap akan raih lebih banyak ilmu dan memahami genre lagu apa yang sesuai dengan saya,” katanya.

Iklan

Selain Sherry, program Mic On Selebriti turut disertai 12 barisan pelakon dan pengacara popular lain seperti Zul Huzaimy, Fauzi Nawawi, Namie, Mona Ellen, Elly Arifin, Afifah Nasir dan Amyza Adnan.

Setiap artis akan dibahagi kepada tiga kumpulan dan dibimbing oleh pengurus masing-masing yang terdiri daripada Aepul Roza, Black Hanifah dan Hazama.

Mic On Selebriti akan bersiaran selama 10 minggu bermula 20 Mei ini pada setiap hari Sabtu, jam 9 malam.

Awesome TV juga boleh disaksikan menerusi saluran Astro 123 dan MyTV 112.