TIDAK terluah dengan kata-kata tatkala melihat wajah comel, Soffea Ammara Shahrir Asyraf yang menanggung ujian cukup berat pada usia terlalu muda.

Si kecil berusia tujuh bulan yang manja dipanggil Soffea itu disahkan menghidap kanser leukemia limfosifik akut seawal usia sebulan, sekali gus terpaksa menjalani siri rawatan cukup menyakitkan.

Kepada SinarPlus, bapanya, Shahrir Asyraf Senin memberitahu, pihaknya tidak menyangka kembung perut yang ditanggung anak tunggalnya itu rupa-rupanya membawa petanda buruk.

Masakan tidak, kondisi perut anak yang membulat keras sehingga timbul urat hijau, rupa-rupanya impak organ dalaman seperti hati dan limpa yang sudah membengkak.

“Saya dan isteri pada mulanya anggap Soffea hanya kembung perut biasa. Cuma bila kami rujuk ke klinik kesihatan untuk rawatan susulan bayi sebulan, barulah tahu Soffea ada masalah.

soffea

“Jadi, kes anak kami terus dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk rawatan lanjut,” katanya yang menetap di Klebang, Ipoh, Perak.

Perjalanan rawatan si comel itu pada mulanya menemui jalan buntu apabila pihak doktor tidak dapat mengesan punca penyakit, meskipun sudah lebih 20 kali ujian darah diambil.

soffea

Hal tersebut disebabkan darah Soffea terlalu pekat sehingga sukar untuk dibaca, manakala kandungan sel darah putih terlampau tinggi sehingga mencecah 1,700.

Cerita bapa seorang anak itu, jika mengenangkan keadaan Soffea pada ketika itu dengan level darah putih luar biasa boleh memberi risiko buruk kepada anak kesayangannya sehingga boleh melayang nyawa.

soffea

“Sedangkan kalau kena kepada orang dewasa, bacaan 500 pun sudah boleh diserang strok, inikan pula bayi yang masih kecil. Ya ALLAH, alhamdulillah ALLAH jaga dia.

“Selepas hari kedua, barulah kami dapat tahu yang Soffea sebenarnya ada kanser leukemia limfosifik akut. Berita itu benar-benar membuatkan dunia kami gelap-gelita,” cerita suami kepada Zanariah Ahmad Zaki, 30, itu.

Baca juga Selain sindrom down dan kanser, si kecil ini menderita buah pinggang dijangkiti kuman hingga bernanah

Akur dengan saranan doktor, si kecil itu kemudiannya menjalani rawatan kemoterapi di hospital sama untuk tiga kali kitaran yang memeritkan.

soffea

Pun demikian, tiada ibu bapa yang sanggup melihat zuriat yang amat dikasihi menanggung kesengsaraan yang bukan biasa-biasa.

Mana tidaknya, raungan kesakitan demi bertarung nyawa mengundang sebak. Lagi menyedihkan, badannya yang dahulu gebu kian melepuh, ditambah bibir kering dan pecah sehingga tidak boleh menyusu normal.

Apa yang membuatkan pasangan muda itu lagi susah hati apabila sel kanser dikesan kembali semula (relapse) dan pertumbuhan buah hati mereka itu semakin kurang memberangsangkan.

Justeru, jalan terakhir adalah sama ada ubat kemoterapi berdos tinggi atau dibawa pulang.

 

Ikhtiar terakhir

Tidak mahu mengalah dan percaya masih ada ikhtiar buat permata tersayang, juruteknik di sebuah kilang itu gigih mencari hospital alternatif sebagai solusi baharu.

Iklan

“Alhamdulillah kami dapat jumpa kaedah rawatan yang sesuai untuk Soffea di Pusat Perubatan Universiti Malaysia dan meskipun kos agak tinggi, namun kami merelakan segala-galanya.

“Apa yang penting ketika ini, Soffea boleh kembali seperti dulu,” katanya yang perlu membiayai belanja kira-kira RM30,000 untuk dua kali kitaran bagi rawatan immunotherapy.

Soal ‘nilai’ yang perlu ditanggung, kata bapa berusia 31 tahun itu, beliau tidak dinafikan ia agak membebankan, ditambah kos ulang-alik dari Perak ke Kuala Lumpur setiap bulan.

soffea

“Sekarang ini fasa agak kritikal buat Soffea sama ada badannya boleh terima atau tidak rawatan baharu tersebut. Setakat ini, anak menunjukkan kesan positif terhadap ubat khas tersebut.

Baca juga Diuji pasangan kembar derita leukemia, emak ayah sebak anak rindu nak ke sekolah

“Jika diikutkan, tempoh sebulan untuk rawatan immunotherapy sebelum prosedur pemindahan sumsum tulang. Cuma sekarang ini saya mohon doa orang ramai supaya Soffea serasi dengan terapi baharu ini dan ujian darah bertambah baik,” katanya.

soffea

Iklan

Selain bergantung dengan gaji bulanan, Shahrir Asyraf juga turut membuat kutipan tabung rawatan anak melalui platform TikTok demi menanggung kos perubatan yang sangat tinggi.

Jika dihitung satu persatu, kos rawatan untuk dua fasa sahaja sudah membabitkan peruntukan kira-kira RM50,000, manakala prosedur transplan sumsum tulang pula mencecah RM70,000.

Justeru, kepada orang ramai yang ingin membantu meringankan beban si comel Soffea dan ahli keluarganya, sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 558248224781 atas nama Zaizakitchy Enterprise.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee