PASANGAN tular yang memiliki anak penyakit kronik bergelar suami isteri yang sah dalam satu majlis di Masjid Al Maarufi, Kota Seberang, Kuala Kedah.

Lelaki berkenaan, Mohd Azlan Ishak, 36 menyerahkan RM1,000 kepada pasangan, Nor Hidayu Halim, 34 sah bergelar suami isteri selepas dinikahkan oleh Imam Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer Mualim selepas solat Asar dengan sekali lafaz.

Nor Hidayu yang memakai baju sedondon putih dengan Mohd Azlan menerima mas kahwin RM1,000 dan sebentuk cincin emas.

Baca juga: Ibu bapa bayi 11 bulan viral dipercayai bersekedudukan & penagih dadah, Cikgu Fadli kongsi pengalaman tersalah beri bantuan

Baca juga: ‘Pernah datang tapi tak cukup duit.’ Bapa bayi 11 bulan menangis sebak terima kereta untuk kegunaan keluarga ke hospital

Baca juga ‘Itu kenderaan kami ada, duit dalam poket RM12 je.’ Pakai alat bantuan pernafasan naik motor ke hospital, kisah keluarga ini meruntun hati

Dalam pada itu, Muhammad Hazamer yang juga Pengerusi Masjid Al Maarufi Seberang Kota berkata, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu memudahkan urusan pernikahan pasangan tersebut.

Menurutnya, masyarakat diharapkan agar terus memberikan sokongan kepada pasangan berkenaan untuk meneruskan kehidupan baharu.

“Mereka ini sudah berusaha untuk menghalalkan hubungan dan seharusnya kita menolong mereka dengan tidak berbicara yang buruk tentang status perkahwinan mereka ini.

“Selepas selesai urusan akad nikah ini, saya nasihatkan dia juga untuk selesaikan urusan nasab anaknya pula,” katanya.

BUKA BUKU BARU, TUTUP BUKU LAMA

Menurut Mohd Azlan, beliau berharap selepas ini tidak ada lagi mana-mana pihak yang bersangka tidak baik kepada keluarganya.

“Saya telah menjalankan kewajiban saya sebagai orang Islam dan menghalalkan hubungan saya dengan Nor Hidayu.

“Selepas ini kami mahu tutup buku lama dan buka buku baru menjalani kehidupan kami,” katanya .

Jelas Mohd Azlan, dia reda dengan apa yang berlaku dan pada waktu sama bersyukur ramai pihak tampil membantu serta memberikan sumbangan kepada anaknya, Mohd Aarriz Zafran berusia 11 bulan.

“ALLAH yang menggerakkan hati orang lain untuk membuat video dan ramai bantu, saya bersyukur,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Nor Hidayu pula berkata, sumbangan yang diterima daripada masyarakat akan digunakan untuk rawatan Mohd Aarriz yang menghidap pelbagai penyakit.

Menurutnya, mereka juga akan menyediakan bilik khas untuk anak lelakinya itu di rumah mereka dengan memasang pendingin hawa kerana tidak boleh terdedah dengan habuk disebabkan turut menghidap penyakit asma.

Dalam pada itu, Nor Hidayu berkata, kes yang tular ini juga menyebabkan dia tidak dapat tidur dan tiada selera makan selama empat hari.

“Pegawai kaunseling Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang datang ke rumah menasihatkan saya agar tidak melihat media sosial buat masa sekarang,” katanya.

Baca juga: Umumkanlah perkahwinan, rahsiakan pertunangan

TIADA HANTARAN, PAKAIAN NIKAH DITAJA RAKAN

Memetik laporan mStar, Mohd Azlan berkongsi hanya menggayakan baju tajaan daripada rakan dan melangsungkan pernikahan tanpa sebarang persiapan.

Katanya lagi, majlis akad nikah berkenaan berlangsung tanpa kenduri atau hantaran.

“Petang ini akad nikah semata-mata, tiada majlis makan-makan. Untuk akad nikah, saya tak sediakan wang hantaran. Cuma saya beri mas kahwin RM1,000.

Iklan

“Dulang hantaran pun tiada, kami buat yang wajib sahaja,” katanya.

Lelaki itu juga meluahkan tidak merasa gementar untuk bernikah sebaliknya mengakui ia dilakukan demi masa hadapan anak-anak.

“Ini first time saya akan kahwin. Saya rasa OK lagi setakat ni, tiada rasa gementar. Lagi pun saya buat benda ni untuk anak saya,” ujarnya.

Baca juga: Risau! Bilangan perkahwinan menurun, cerai meningkat di Malaysia, 20 info laporan Jabatan Perangkaan

Pun begitu, Azlan dan Hidayu merancang membuat kenduri kecil-kecilan untuk keluarga pada 4 Jun nanti.

Terdahulu, pasangan berkenaan tular selepas membawa bayi menaiki motosikal dengan alat bantuan pernafasan khas.

Iklan

Insiden itu meraih simpati ramai termasuk Perdana Menteri Malaysia yang turut menghulurkan bantuan untuk meringankan beban yang ditanggung.

Pun begitu, pihak masjid mendedahkan pasangan itu bukan suami isteri yang sah.

Pasangan terbabit kemudian mengakui tentang perkara berkenaan dan memaklumkan akan bernikah dalam kadar segera.

Sumber: Sinar Harian (WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR 1 & 2)MStar

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!