HIPERTENSI adalah salah satu penyakit yang boleh membawa kepada komplikasi dan juga kematian jika tidak dirawat.

Maka pada setiap tahun menjelang 17 Mei, pasti akan diadakan sambutan Hari Hipertensi Sedunia bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang penyakit ini.

Sehubungan itu, SinarPlus mendapatkan pandangan pakar perubatan mengenai penyakit tersebut. Menurut Pegawai Perubatan dari Hospital Kepala Batas, Dr Fazreen Athira, hipertensi bermaksud tekanan darah tinggi.

“Ia merujuk kepada tekanan yang dihasilkan ke atas dinding arteri, yang merupakan saluran darah kita. Ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti komposisi dan jumlah darah dalam badan serta ruang dalam arteri kita.

“Sebagai contoh, jika terdapat kolesterol, ruang dalam arteri akan menjadi lebih sempit, menyebabkan tekanan darah meningkat. Tekanan ini mencerminkan tekanan darah kita,“ ujar Dr Fazreen.

Dr Fazreen Athira

Pakar tersebut turut berkata, pada peringkat awal, penyakit itu selalunya akan kekal tanpa simptom (asymptomatic).

“Asymptomatic merujuk kepada keadaan yang mana seseorang tidak menunjukkan sebarang simptom atau tanda-tanda penyakit. Dalam konteks hipertensi, ini bermaksud seseorang tidak mengalami sebarang gejala yang menunjukkan adanya tekanan darah tinggi, walaupun tekanan darahnya mungkin sudah meningkat.

“Simptom yang muncul adalah tanda bahawa badan sudah tidak mampu mengatasi tekanan darah yang tinggi.

“Contohnya, jika seseorang boleh berlari 100 meter tanpa henti tetapi sekarang tidak mampu lagi, itu menandakan toleransi terhadap aktiviti fizikal telah berkurang.

“Itu juga sebagai tanda amaran untuk pesakit atau sesiapa sahaja yang mengalami tanda-tanda tersebut, perlu segera ke hospital untuk mendapatkan diagnosis,“ jelasnya.

Dr Fazreen juga mencadangkan orang ramai untuk membuat pemeriksaan kesihatan berkala. Jika semasa pemeriksaan kesihatan didapati tekanan darah sentiasa tinggi, maka perlu segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

“Biasanya, sebelum doktor mengesahkan diagnosis hipertensi kepada seseorang pesakit, mereka akan memberi pemantauan tekanan darah harian.

“Pesakit akan diminta untuk memeriksa tekanan darah mereka setiap pagi selama seminggu.

“Jika purata tekanan darah sistolik melebihi 140 mmHg atau diastolik melebihi 90 mmHg, maka pesakit tersebut mungkin mengalami hipertensi,“ ujarnya.

Kadangkala, terdapat keadaan yang dikenali sebagai white coat hypertension yang mana tekanan darah naik kerana pesakit berasa takut dengan doktor atau jururawat.

“Oleh itu, pemantauan tekanan darah biasanya dilakukan di rumah atau di hospital selepas pesakit berehat selama 30 minit untuk mendapatkan bacaan yang tepat,“ tambahnya.

Risiko hipertensi terbahagi kepada dua, risiko yang boleh diubah suai (modifiable) iaitu risiko yang boleh dikawal dan risiko yang tidak boleh diubah suai (non-modifiable) faktor yang berlaku di luar kawalan kita.

Risiko tidak boleh diubah suai

Faktor umur
– Semakin meningkat umur, semakin tinggi risiko untuk mendapat hipertensi. Ini adalah lumrah bagi setiap penyakit.

Sejarah keluarga
– Jika ada ahli keluarga seperti ayah atau ibu yang mempunyai hipertensi, anak juga berisiko tinggi untuk mewarisinya.

Faktor penyakit
– Penyakit seperti diabetes dan penyakit buah pinggang juga boleh meningkatkan risiko mendapat hipertensi.

Risiko boleh diubah suai

Gaya hidup
– Di Malaysia, ramai yang mempunyai gaya hidup sedentari, iaitu kurang aktif. Ini adalah salah satu faktor risiko yang boleh diubah.

Cara pemakanan
– Pengambilan garam yang tinggi dan makanan yang tidak sihat boleh menyumbang kepada hipertensi.

Merokok dan alkohol
– Kedua-dua tabiat ini adalah faktor risiko yang boleh diubah suai untuk mengurangkan risiko hipertensi.

“Walaupun kita tidak boleh mengubah risiko yang diwarisi, seperti sejarah keluarga, namun boleh mengurangkannya dengan mengawal faktor-faktor risiko yang boleh diubah suai.

“Contohnya, walaupun kita menjaga gaya hidup dengan baik, kita tetap perlu berwaspada jika mempunyai sejarah keluarga hipertensi. Oleh itu, adalah penting untuk mengawal faktor risiko yang boleh diubah suai seperti diet dan gaya hidup untuk mengurangkan kemungkinan mendapat hipertensi,“ jelas Dr Fazreen.

Bagi individu yang memang ada risiko untuk mendapat hipertensi, mereka boleh mengamalkan gaya hidup yang sihat dan seimbang.

Gaya hidup yang aktif sangat penting. Setiap hari, sekurang-kurangnya 30 minit senaman seperti berjoging di kawasan perumahan sudah memadai untuk membina kekuatan kardiovaskular kita.

Dari segi pemakanan, adalah penting untuk mengurangkan pengambilan gula, garam, dan makanan berlemak selain melakukan pemeriksaan berkala.

Lebih lebih lagi pesakit berisiko tinggi yang kerap sakit dada, pening, kebas tangan dan kaki dan sebagainya haruslah ke pusat kesihatan yang terdekat dengan segera.

Justeru, bersempena Hari Hipertensi Sedunia baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia membawa tema ‘Garam : Cukup Sedikit, Cegah Penyakit‘. Pun demikian, apa kaitan garam dengan hipertensi?

Iklan

Menurut Dr Fazreen, garam boleh menyebabkan penyerapan semula air dalam badan kita, atau water retention. “Ini berlaku apabila terdapat komposisi natrium (sodium) dalam darah kita. Natrium ini akan menarik air daripada sel-sel di luar saluran darah untuk masuk ke dalam saluran darah.

“Untuk mengelakkan masalah ini, penting untuk mengawal pengambilan garam harian. WHO mengesyorkan pengambilan kurang daripada 2,000 miligram natrium atau lima gram garam sehari, bersamaan dengan satu sudu teh garam.

“Namun, dalam masakan harian kita, setiap hidangan biasanya mengandungi secubit garam yang jika dikumpul, boleh melebihi jumlah yang disarankan,“ jelas beliau lagi.
Menyentuh mengenai penggunaan bahan perasa tambahan, akui pakar tersebut, ia sebenarnya adalah pengganti kepada garam.

“Pun begitu, komponennya tetap sama kerana mengandungi natrium (sodium). Contohnya, monosodium glutamate (MSG) yang juga mengandungi natrium.

“Jika penggunaan bahan perasa seperti MSG tidak mengikut saranan pengambilan natrium harian, kesannya akan sama seperti pengambilan garam berlebihan.

“Ia akan menyebabkan penyerapan semula air dalam badan (water retention) dan mencetuskan kitaran patofisiologi yang sama, di mana tekanan darah akan meningkat,“ ungkapnya.

Malah, bahan perasa itu organik sekalipun, jika kandungan natrium masih tinggi, ia akan memberi kesan yang sama.

Oleh itu, penting untuk memantau pengambilan bahan perasa untuk memastikan ia tidak melebihi saranan natrium harian.

Menjawab satu persoalan, Dr fazreen mengakui penyakit itu biasa berlaku pada orang dewasa, tetapi ia juga boleh berlaku pada orang muda.

“Menurut Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG, individu seawal usia 18 tahun boleh menghidap hipertensi. Doktor biasanya akan melakukan pemeriksaan lanjut untuk mencari punca sekunder hipertensi.

Iklan

“Ini kerana hipertensi pada golongan muda sering kali berkaitan dengan penyakit lain seperti, Cushing‘s Syndrome, Pheochromocytoma dan Stenosis Arteri Renal.

“Walaupun ia jarang berlaku pada kanak-kanak, tetapi boleh berlaku jika terdapat penyakit lain yang menyebabkan hipertensi. Kebanyakan kes hipertensi adalah primer (essential hypertension) tanpa penyebab lain yang mendasari. Namun, sekitar 10 peratus kes hipertensi adalah disebabkan oleh penyakit lain (secondary hypertension).

Pembunuh dalam senyap

Bukan mudah untuk seorang doktor mendiagnosis hipertensi kepada pesakit. Penyakit ini boleh jadi pembunuh dalam senyap (silent killer) jika tidak dibendung boleh membawa maut.

“Apabila seseorang itu telah didiagnosis ada hipertensi, doktor akan mula berikan ubat pada kadar dos rendah dahulu.

“Jika terkawal, barulah boleh dikurangkan dos atau cuba untuk menghentikan pengambilan ubat tersebut, tetapi perlu dipantau.

“Mungkin ada dalam kalangan pesakit khuatir pengambilan ubat boleh merosakkan buah pinggang, tetapi sebenarnya ubat itulah yang membantu (buah pinggang) sebenarnya,“ ujar beliau.

Paling penting katanya, duduk dan bincang dengan doktor tentang cara terbaik untuk kawal penyakit tanpa ubat jika perlu.

Tetapi, perlu ada pematuhan dan disiplin yang tinggi serta rawatan susulan yang betul.
Secara kesimpulannya, hipertensi merupakan penyakit utama di Malaysia, tetapi ia boleh dicegah dengan amalan gaya hidup yang baik.

Penting untuk kenal badan kita, jika ada tanda-tanda seperti sakit dada dan sebagainya, pergilah berjumpa dengan doktor.

Doktor akan sentiasa ada untuk berbincang dengan anda.