BARU-BARU ini negara dikejutkan dengan peristiwa pemain sayap Harimau Malaya, Mohamad Faisal Abdul Halim mengalami kelecuran akibat disimbah asid oleh orang tidak dikenali.

Susulan tragedi yang berlaku itu, Faisal yang juga dikenali sebagai Mickey disahkan mengalami kelecuran tahap empat.

Lebih menyedihkan, bapa kepada seorang cahaya mata itu dikatakan mengalami kesukaran untuk bergerak dan bertutur pada awal-awal beliau dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Daripada pencarian SinarPlus mengenai kes simbah asid, boleh dikatakan ia bukan kejadian kali pertama berlaku.

Bahkan, sudah ada beberapa kes sebelum ini yang sudah mencetuskan kekecohan dalam kalangan masyarakat.

Yang pasti, mangsa bukan sahaja trauma bahkan menderita seumur hidup disebabkan kecederaan itu.

Susulan isu hangat berkenaan kes tersebut, penulis baru-baru ini menemu bual Pakar Bedah Telinga, Hidung & Tekak, Dr Ezairy M.Sallih bagi mengetahui lebih lanjut mengenai kelecuran dan sejauh mana ia mengundang trauma kepada mangsa yang terbabit.

Dr Ezairy
Dr ezairy

Menurut pakar dari Klinik Pakar ENT Dr Ezairy, kelecuran sering berlaku dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia.

Ia boleh didefinisikan sebagai kerosakan pada tisu kulit akibat daripada bahan kimia, wap atau cecair panas.

Kecederaan itu mempunyai beberapa tanda dan tahap-tahap tertentu bagi membezakan gejala kepada setiap pesakit.

“Antara yang biasa ditemui di fasiliti kesihatan ialah kes yang mana disebabkan kemalangan semasa menggunakan bahan panas atau bahan kimia.

“Ada juga kes yang berlaku akibat cubaan pesakit untuk membunuh diri disebabkan tidak dapat mengawal perasaan.

“Selain itu, ada juga kes yang berlaku disebabkan oleh orang lain seperti khianat dan sebagainya seperti mana yang berlaku baru-baru ini kepada pemain bola sepak kebangsaan kita,” ujar Dr Ezairy.

Menurut beliau lagi, bahagian yang biasanya berisiko terkena bahan kimia atau panas sehingga terjadinya kelecuran ialah bahagian yang terbuka.

Tahap kelecuran

Tahap-tahap kelecuran ada beberapa peringkat yang perlu kita ketahui dan boleh diklasifikasikan kepada tiga tahap:

Tahap Satu (superficial)

Kecederaan yang hanya melibatkan lapisan luar kulit sahaja (lapisan epidermis).
Ia tidak menyebabkan penembusan lapisan kulit yang lain.

Tahap Dua (partial thickness)

Kecederaan yang menyebabkan penembusan lapisan kulit.
Lapisan bawah kulit alami kerosakan.

Tahap Tiga (full thickness)

Kecederaan yang menyebabkan kerosakan kepada semua lapisan kulit dan lapisan otot ataupun tulang.

Tahap Empat (full thickness)

Kecederaan lebih dalam daripada lapisan otot. Boleh membawa lebih komplikasi pada tahap ini.

Menjawab persoalan mengenai isu yang mengatakan mangsa yang menderita tahap empat dikatakan tidak sakit kerana tiada sarat deria sakit, namun dalam satu kes pesakit mengadu berasa sakit yang teramat, Dr Ezairy mengakui, tahap tersebut biasanya boleh menyebabkan kerosakan pada saraf.

“Dalam isu ini, pesakit kebiasaannya tidak akan berasa sakit berbanding dengan tahap lain. Namun, apabila kecederaan tahap empat berlaku, bahan toksin akan meresap ke sistem tubuh pesakit.

“Ada kes yang mana jika tidak dirawat awal menyebabkan anggota tersebut perlu dikorbankan bagi mengelakkan ia bertambah serius,” ungkapnya.

 

Ulas pakar itu lagi, kelecuran yang teruk juga boleh menyebabkan kejutan saraf serta-merta.

“Mangsa menjadi pucat dan berisiko untuk pengsan. Lebih kronik atau berbahaya jika berlakunya kejutan sekunder yang berlaku beberapa jam kemudian.

“Ciri utamanya ialah penurunan tekanan darah yang dramatik yang membawa kepada pucat, kaki sejuk, dan akhirnya tidak sedarkan diri,” ujar Dr Ezairy dengan panjang lebar.

Konsep 3B & 3C
Dalam pada itu, beliau turut berkata, masalah kelecuran bukan sahaja berbahaya dan boleh merosakkan tisu, tetapi juga dengan menyebabkan kebocoran cecair dan garam.

“Jika lebih daripada satu per lima isipadu darah hilang, ia mengundang masalah lebih serius kerana darah yang diperlukan untuk kembali ke jantung tidak mencukupi bagi mengekalkan tekanan darah. Semua keadaan ini jika tidak dikawal boleh membawa maut,” tegasnya.

Justeru pesan beliau lagi, jika seseorang terkena asid, langkah segera perlu dilakukan bagi mengelakkan komplikasi lebih buruk berlaku dengan menggunakan konsep 3B dan 3C.

Iklan

 

Konsep 3B
Burn stop

Hentikan pembakaran, jika pakaian terbakar buka baju, jika susah untuk dibuka, jangan memaksa untuk buka baju. Alihkan objek panas dari mangsa.

Breathing maintain

Pastikan saluran pernafasan mangsa terbuka, tiada sekatan yang menghalang pernafasan.

Body examine

Periksa tahap kebakaran dan anggota terlibat.

Konsep 3C

  • CoolSejukkan bahagian yang terbakar dengan mengalirkan air paip sekurang-kurangnya 10-15 minit.
  • CoverTutup bahagian yang terbakar dengan kain yang bersih
  • CarryBawa mangsa ke fasiliti kesihatan terdekat bagi mendapatkan rawatan seterusnya.

Jelas Dr Ezairy lagi, setiap pakar yang merawat pesakit akan melihat terlebih dahulu tahap kecederaan yang dialami mangsa.

“Setelah itu, barulah disusuli dengan rawatan seperti cucian luka, pembedahan, fisioterapi dan lain-lain.

“Setiap rawatan yang disediakan adalah bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami oleh pesakit.

“Ada kes yang hanya mengalami kecederaan ringan dan ada kes boleh mengundang kepada cacat kekal jika ia membabitkan kecederaan yang serius,” kata pakar itu.

Iklan

Rawatan penyembuhan

Menyentuh mengenai cara menghilangkan trauma yang dialami, pakar ini mengakui cara terbaik yang biasa dilakukan ialah dengan mendapatkan sokongan orang sekeliling dan bantuan kaunseling.

“Orang terdekat dengan mangsa adalah insan yang paling penting seperti ahli keluarga, saudara atau rakan karib perlu memainkan peranan membantu pesakit dari segi sokongan emosi dan menghilangkan rasa trauma yang dihadapi.

“Selain daripada itu, bantuan kaunseling daripada pegawai yang terbabit terutama di fasiliti kesihatan juga dapat membantu pesakit menghadapi situasi ini.

Diminta berkongsi tip atau nasihat kepada pesakit yang mengalami kecederaan akibat disimbah asid, terutama apa yang perlu mereka lakukan selepas menerima rawatan, ini jawapan Dr Ezairy.

“Nasihat saya, pastikan anggota yang mengalami kecederaan tersebut sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan elakkan daripada berlaku jangkitan. Jika ini berlaku, ia boleh melambatkan proses penyembuhan pesakit.

“Rawatan dan janji temu bersama doktor juga perlu sentiasa dipatuhi bagi memastikan keadaan kecederaan sentiasa mendapat pemantauan daripada doktor yang merawat,” jelasnya ketika ditemu bual secara maya oleh penulis.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di X, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang