GILA meroyan atau postpartum psychosis sering dikaitkan dengan kemurungan di kalangan ibu selepas bersalin. Adalah normal bagi wanita untuk berasa tidak selesa selepas bersalin. Bagaimanapun, keadaan ini boleh menjadi tanda masalah kesihatan yang serius apabila melibatkan kemurungan.

Tubuh wanita mengalami banyak perubahan selepas bersalin, dan memerlukan masa untuk pulih. Semua wanita yang baru bersalin memerlukan penjagaan. Ini bertujuan untuk memastikan keadaan tubuh badan melalui proses ‘pemulihan’ bagi mengelakkan sebarang masalah kesihatan.

Melalui satu hantaran di laman sosial Facebook, Dr Afiq Rahim berkongsi fakta tentang penyakit gila meroyan. Beliau menjelaskan bahawa penyakit gila meroyan berlaku disebabkan perubahan hormon, masalah psikologi selepas bersalin dan pelbagai faktor lain yang mengundang stres dan gangguan emosi kepada wanita yang baru lepas bersalin.

Baca juga: Lelaki pun boleh ‘meroyan’ lepas isteri bersalin, 8 tip ini amat membantu

Kredit foto: Pexels

Selepas bersalin, para ibu kehilangan banyak tenaga dan berada dalam keadaan mental dan fizikal yang lemah. Keadaan ini boleh menyebabkan kemurungan sehingga pada satu tahap kritikal, si ibu berisiko mencederakan diri sendiri atau orang lain. Pengesanan awal amat penting bagi mengelakkan kejadian buruk ini.

Antara tanda-tanda penyakit gila meroyan:
– bercakap seorang diri
– berhalusinasi
– berfikir hal tidak rasional
– was-was
– keliru
– gagal menjalankan tanggungjawab
– tiada minat untuk melakukan apa-apa
– acap menangis
– sering mengadu

Antara komplikasi jika tidak segera dikawal adalah bertindak ganas selain berisiko mendapat penyakit sakit jiwa yang lain seperti depresi. Sokongan suami dan juga orang yang terdekat amat penting.

Segera rujuk kepada pihak kesihatan jika berlaku perubahan tingkahlaku yang ketara pada si ibu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Baca juga: Kasih ibu, biarpun kaki dipasung wanita tetap menyusukan anak

Kredit foto: Pexels

RAWATAN PENYAKIT GILA MEROYAN
-Sokongan moral, emosi dan fizikal amat diperlukan ibu selepas bersalin.

-Si ibu juga perlulah sentiasa berdamping dengan zikrullah, bacaan doa serta menambah ilmu agama di saat diri tidak boleh solat.

-Jangan jadikan berpantang alasan untuk lalai mengingati ALLAH, kelak syaitan yang akan mengggangu nanti.

-Cara lain adalah melalui kaunseling dan ubat-ubatan jika masalah serius.

Kemurungan selepas bersalin boleh dielakkan. Jika anda melihat ada tanda-tanda tersebut pada seorang ibu selepas bersalin, maklumkan segera kepada pihak kesihatan. Bagi pihak suami pula, berikanlah sokongan kerana isteri memerlukan pertolongan berterusan anda dalam menguruskan rumah tangga.

Menurut pakar psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria, ada tiga ‘fenomena’ psikiatri yang boleh berlaku terhadap wanita yang baru melahirkan anak (post-partum period).

Post-partum blues
Simptom: mudah menangis, emosi berubah-ubah
Biasa terjadi pada hari ke tiga hingga ke lima tiga hingga lima hari selepas bersalin, bersifat sementara dan dialami oleh 50 hingga 80 peratus wanita. Ia dikaitkan dengan perubahan hormon secara mendadak selepas kelahiran bayi. Tidak berbahaya namun ibu memerlukan sokongan yang baik pada fasa ini. Sekiranya tidak mendapat sokongan yang baik, berkemungkinan berlarutan menjadi kemurungan.

Post-partum depression (kemurungan)
Simptom: Sedih berpanjangan, mudah terasa, mudah marah, gangguan tidur, hilang selera, hilang focus, rasa tidak sempurna dan bukan ibu yang baik, lintasan fikiran mahu membahayakan bayi.

Kemurungan ini biasa berlaku dalam empat minggu pertama kelahiran, kemuncak pada bulan ke tiga hingga bulan ke enam kelahiran. Ada kajian yang menunjukkan 10 peratus ibu mengalaminya. Berkait rapat dengan sejarah gangguan mental dan kecelaruan persekitaran (penceraian, masalah kewangan dan sebagainya).

Ia perlu dirawat segera kerana kesan penyakit ini boleh mengakibatkan gangguan ‘bonding’ antara ibu dan anak, risiko penyakit mental terhadap bayi, gangguan hubungan suami isteri, risiko bunuh diri dan kecederaan pada bayi.

Post-partum psychosis
Simptom: kecelaruan fikiran, gelisah, emosi tidak menentu, mengalami halusinasi (mendengar suara yang tidak wujud) dan boleh bersikap agresif.
1 dalam 1,000 wanita mengalaminya. Penghidap berisiko menghadapi masalah psikiatri pada masa akan datang, contohnya bipolar disorder. Memerlukan rawatan segera.

Baca juga: 18 tulang rusuk, dua kaki patah, kepala lebam digoncang, bayi 10 minggu maut angkara ibu sendiri

Kredit foto: Pixabay

PUNCA LAIN PENYEBAB MEROYAN

Terdapat juga gangguan fikiran dan emosi berlaku akibat penyakit fizikal. Fenomena ini dipanggil ‘delirium’.

Antara penyakit yang biasa terjadi ialah seperti jangkitan kuman dalam darah, kekurangan darah, darah beku dan komplikasi bersalin yang lain.

Iklan

APA BOLEH ANDA LAKUKAN?

1. Sebarang perubahan terhadap ibu yang bersalin perlu diberi perhatian serius, dapatkan pemeriksaan dan rawatan segera.

2. Fasa selepas bersalin adalah kritikal kepada seorang ibu dan bayi. Pastikan keduanya mendapat perlindungan dari segi fizikal dan emosi.

3. Sokongan, bantuan dan perhatian benar-benar bermakna bagi mereka. Bantu dalam apa jua bentuk.

4. Ibu yang berisiko perlu diberi perhatian lebih.

5. Pastikan ibu ada rehat yang mencukupi, ada ruang sendiri, ada masa memanjakan diri dan ruang untuk pulih.

6. Walaupun tidak boleh menjalankan ibadah tertentu sewaktu berpantang, ibadah umum lain seperti berzikir, berdoa, beristighfar dan mendengar ayat al Quran masih boleh dilakukan dan digalakkan.

Iklan

7. Bagi ibu-ibu yang baru lepas bersalin, ketahui batas anda. Minta bantuan jika tidak berupaya melaluinya seorang diri.

Banyak kekeliruan dan masalah akan selesai apabila setiap individu meninggalkan kejahilan dengan belajar, bertanya dan berkongsi. Moga bermanfaat.

Baca juga: Meninggal dunia mengejut, catatan terakhir arkitek sarat hamil menyentuh hati, luah ‘angin tak lepas’ 

Sumber: Dr Rozanizam Zakaria, Dr Afiq Rahim

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Kredit foto utama: Pexels

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi