BUASIR atau lebih dikenali sebagai hemoroid, adalah masalah kesihatan yang sering diabaikan dan kurang dibincangkan secara terbuka.

Walaupun ia boleh mempengaruhi sesiapa sahaja, masih ramai individu yang berasa malu atau enggan mencari jalan penyelesaian. Meskipun begitu, mencari penyelesaian untuk masalah buasir adalah sesuatu yang penting dan satu tindakan yang bijak.

Mengatasi masalah buasir terutama pada peringkat awal sekurang-kurangnya dapat mencegah komplikasi kesihatan yang lebih serius terutama dalam jangka panjang.

tandas
SUMBER Miriam Alonso daripada PEXELS.

Sebelum pergi lebih jauh, jom SinarPlus perhalusi terlebih dahulu apa itu hemoroid menerusi perkongsian bersama Pakar Bedah Am dan Kolorektal, Hospital Columbia Asia, Bukit Jalil, Dr. Ruhi Fadzlyana Jailani.

Menurut Dr Ruhi, dalam istilah perubatan masalah tersebut berlaku apabila salur darah vena di bahagian pangkal dubur membengkak.

Kebiasaannya, ia terjadi apabila berlakunya tekanan di kawasan sekeliling anus yang disebabkan oleh masalah sembelit, memaksa najis keluar dengan meneran secara berlebihan, atau tabiat duduk terlalu lama semasa buang air besar.

“Secara umumnya, masalah tersebut boleh diklasifikasikan dalam dua konteks iaitu buasir luaran atau buasir dalaman.

“Dari segi anatomi, kedua-dua buasir ini berasal daripada salur darah yang berbeza,“ ujar beliau sambil mengakui gejala untuk kedua-dua jenis buasir tersebut hampir serupa.

DR Ruhi
Dr Ruhi

Pakar tersebut juga turut berkongsi jenis buasir yang sering dihidapi pesakit iaitu buasir dalaman dan luaran.

 

1 Buasir dalaman

  • Buasir ini adalah salur darah vena yang bengkak di lapisan dalam rektum. Buasir dalaman mungkin menyebabkan pendarahan yang tidak disertai rasa sakit.
  • Sesetengah pesakit dapat rasakan seperti ada ketulan yang terkeluar dari dubur selepas membuang air besar. Ketulan ini mungkin akan hilang dengan sendiri atau perlu ditolak balik ke dalam dubur.

2 Buasir luaran

  • Buasir ini berlaku di luar bahagian dubur yang menyebabkan rasa sakit, berdarah, gatal atau bengkak semasa membuang air besar.
  • Walau bagaimanapun, tahap kesakitan yang dirasai oleh setiap individu adalah berbeza. Ada yang mungkin berasa tidak selesa, ada juga yang berasa panas atau pedih ketika membuang air besar.

Pada masa sama, Dr Ruhi turut berkongsikan beberapa jenis gejala yang menunjukkan seseorang itu menghidapi masalah buasir.

Selain pendarahan sewaktu membuang air besar, bengkak di kawasan dubur juga antara salah satu simptom masalah tersebut.

Selain itu, terdapat juga kes yang mana seseorang itu mengalami gatal-gatal dan pedih di sekitar kawasan dubur serta rasa sakit dan kurang selesa ketika membuang air besar,“ jelas pakar tersebut.

sakit perut

 

Peringkat-peringkat buasir:

Peringkat pertama

  • Pendarahan sewaktu membuang air besar. Kebiasaannya, pendarahan di dalam najis berlaku ketika hampir selesai membuang air besar.
  • Pada awalnya, darah tidak akan bercampur dengan najis. Akan tetapi, darah segar akan menitis di dalam mangkuk tandas ketika hampir selesai membuang air besar.

Peringkat kedua

  • Pendarahan dan ketulan di pangkal dubur yang masuk semula ke dalam dubur secara semula jadi.

Peringkat ketiga

  • Pendarahan dan ketulan di pangkal dubur yang perlu ditolak dengan jari untuk dimasukkan semula ke dalam dubur.

Peringkat keempat

  • Pendarahan dan ketulan di pangkal dubur yang sentiasa berada di luar dubur dan tidak boleh dimasukkan kembali.
  • Jika ketulan ini berserta dengan kesakitan dan tidak dapat dimasukkan semula, kemungkinan ini adalah buasir yang mempunyai komplikasi darah beku atau dikenali sebagai thrombosed haemorrhoid.

SATU alat iaitu proktoskopi akan dimasukkan ke pangkal dubur untuk mengenal pasti buasir.

Menyentuh mengenai prosedur mengenal pasti buasir, ini jawapan yang diberikan Dr Ruhi: “Setelah mengetahui sejarah penyakit, doktor akan memeriksa pesakit. Pemeriksaan di kawasan pangkal dubur akan dilakukan dengan cara memasukkan jari ke dalam pangkal dubur untuk memastikan tiada ketulan lain yang wujud.

“Selain itu, satu alat iaitu proktoskopi akan dimasukkan ke pangkal dubur untuk mengenal pasti buasir. Prosedur ini tidak menyakitkan dan merupakan pemeriksaan utama yang harus dilakukan oleh doktor untuk mengesahkan kewujudan buasir,“ulasnya lagi.

Iklan

Menyambung bicara, kata Dr Ruhi, jika ada pesakit yang mengalami gejala lain selain najis berdarah, mereka akan dinasihatkan untuk menjalani ujian kolonoskopi.

Ujian tersebut ujar beliau, melibatkan penggunaan tiub yang fleksibel dan kamera yang akan dimasukkan ke dalam usus besar untuk memastikan tiada ketumbuhan di dalamnya.

“Rawatan pembedahan untuk buasir bergantung kepada peringkat buasir yang dihadapi oleh pesakit.

“Antara rawatan intervensi awal buasir adalah banding atau ikat. Salur darah yang bengkak akan diikat dengan getah. Kemudian, buasir akan mengecut,“ ujarnya.

Selain itu, rawatan menggunakan teknologi laser yang dikenali sebagai laser haemorrhoidoplasty yang mana salur darah serta ketulan buasir yang membengkak akan dimatikan dengan menggunakan laser.


TERDAPAT juga rawatan secara jahitan dan sengkak yang dipanggil ligasi arteri buasir dan pembaikan rektoanal.

“Terdapat juga rawatan secara jahitan dan sengkak yang dipanggil haemorrhoidal artery ligation and rectoanal repair.

“Rawatan ini boleh dilakukan khususnya untuk buasir yang membengkak dan terkeluar dari pangkal dubur.

“Teknik stapler atau dikenali sebagai stapler haemorrhoidectomy juga boleh dilakukan untuk pesakit yang mempunyai buasir yang bersifat sekeliling,“ ulas pakar tersebut.

Iklan

Di samping itu kata beliau, pembedahan membuang buasir atau dikenali sebagai haemorrhoidectomy akan dilakukan untuk buasir tahap empat, iaitu pesakit yang mengalami komplikasi darah beku (thrombosed haemorrhoid).

“Kesimpulannya, setiap rawatan buasir adalah bersifat khusus kepada setiap individu. Ini kerana, setiap pesakit yang mengalami peringkat buasir yang berlainan memerlukan rawatan yang berbeza.

“Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor pakar yang berdekatan untuk mengesahkan penyakit buasir serta peringkatnya,“ ujar Dr Ruhi lagi.

diet

8 tip cegah dan kurangkan sakit akibat buasir:

  • Ubah gaya hidup menjadi lebih aktif melalui aktiviti bersenam.
  • Pastikan pengambilan air tidak kurang daripada 2.5 liter setiap hari untuk mengelakkan dehidrasi.
  • Amalkan pemakanan suku-suku separuh iaitu suku untuk karbohidrat dan protein, manakala separuh untuk serat iaitu sayur-sayuran dan buah-buahan.
  • Banyakkan pengambilan serat terutamanya sayur-sayuran serta buah-buahan. Jangan tahan buang air besar.
  • Elakkan paksa meneran atau meneran secara berlebihan ketika membuang air besar.
  • Elakkan duduk terlalu lama di mangkuk tandas. Kurangkan mengangkat barangan berat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!