KESEDARAN dan pemahaman terhadap penjagaan sistem reproduktif wanita amatlah penting untuk kesihatan dan kesejahteraan secara keseluruhan.

Selain memastikan kesuburan dan kemampuan memiliki zuriat, penjagaan sistem reproduktif ini mampu memastikan seseorang wanita tidak terdedah kepada risiko penyakit.

Malah, penjagaan sistem reproduktif turut mempengaruhi aspek psikologi seseorang individu khususnya golongan wanita. Sistem reproduktif yang sihat mampu memastikan kestabilan fizikal dan mental.

Sistem reproduktif wanita bukanlah berkisar tentang haid dan kehamilan semata-mata. Ia melibatkan organ pembiakan dalaman dan luaran yang mempunyai beberapa fungsi tersendiri.

reproduktif
Dr Mohd Nazri menunjukkan gambar rajah sistem reproduktif wanita dan menerangkan masalah kesihatan yang boleh berlaku.

Tahukah anda, risiko penyakit yang sering dikaitkan dengan sistem reproduktif boleh menjejaskan kesihatan wanita seperti endometriosis, polip, sista, fibroid dan kanser ginekologi (serviks, rahim, ovari, tiub fallopio, faraj, vulva dan lain-lain).

Berdasarkan risiko tersebut, ia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh golongan wanita.

reproduktif

SOALAN 1
Bolehkah doktor terangkan secara ringkas mengenai sistem reproduktif wanita dan apakah masalah atau penyakit yang sering dialami oleh golongan itu jika ada gangguan terhadap sistem itu?

JAWAPAN
Sistem reproduktif wanita sebenarnya terbahagi kepada beberapa bahagian penting seperti ovari, rahim dan saluran tiub fallopio.

Apa sahaja yang berlaku dalam sistem pembiakan wanita, ia bergantung kepada ‘kilang’ telur yang terletak dalam ovari. Biasanya jika kilang telur tidak berfungsi, ia menunjukkan masalah menopaus (putus haid).

reproduktif
Dr Mohd Nazri menunjukkan model sistem reproduktif wanita selain menasihatkan supaya mendapatkan rawatan jika mempunyai masalah kesihatan.

Rahim pula mempunyai tiga lapisan iaitu luaran, otot dan endometrium.

Masalah yang sering dihadapi wanita lazimnya berkaitan dengan kitaran haid atau pendarahan abnormal sama ada berlaku di peringkat remaja atau sudah meningkat usia.

Kitaran haid selalunya boleh dikesan seawal usia 12 tahun atau lebih awal. Namun, terdapat kes remaja yang sudah berusia 14 tahun ke atas yang masih belum datang haid. Jika berdepan masalah sedemikian, wajar ibu bapa membawa anak berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Sekiranya berlaku durasi kitaran haid tidak normal iaitu berlaku pendarahan terlalu banyak dalam tempoh lama atau tidak datang haid dalam tempoh lama (enam bulan atau setahun), jangan berlengah lagi untuk bertemu doktor pakar.

dismenorea

Selain itu, masalah yang kerap dialami wanita adalah senggugut dan keputihan. Jika isu kekejangan otot pada bahagian bawah abdomen ketika haid (dismenorea), saya nasihatkan dapatkan nasihat pakar.

Keputihan sebenarnya ada lelehan yang normal. Cuma petanda yang perlu dipandang serius apabila ia berbau, berketul-ketul, bercampur dengan darah. Andai kata keadaan tersebut berlarutan ketika usia 40 hingga 50 tahun, ia berkemungkinan isyarat awal kanser pangkal rahim.

Masalah-masalah lain yang sering dikaitkan dengan sistem reproduktif wanita juga melibatkan ketumbuhan seperti sista, polip, endometriosis dan fibroid.

 

SOALAN 2
Bagaimana cara untuk mengenal pasti simptom berlakunya masalah dalam sistem reproduktif wanita dan apakah rawatan terbaik untuk menanganinya?

JAWAPAN
Sekiranya berlaku masalah melibatkan sistem reproduktif wanita, kebanyakannya boleh dikesan melalui beberapa simptom yang jelas.

Sebagai contoh, kes seperti pendarahan haid yang panjang, ia berkemungkinan besar disebabkan wujudnya ketumbuhan dalam sistem pembiakan wanita. Ini kerana terdapat beberapa jenis ketumbuhan yang kerap berlaku iaitu di dalam rahim dan di dalam ‘kilang’ telur.

reproduktif

Ketumbuhan yang dikesan di dalam rahim pula biasanya dikenali sebagai fibroid, polip dan endometriosis yang mana melibatkan pendarahan yang banyak dan panjang, manakala ketumbuhan dalam ‘kilang’ telur dipanggil sista.

Bagaimanapun, seandainya rahim yang bengkak disebabkan endometriosis, ia agak sukar untuk dikesan lebih awal. Namun, keadaan berbeza sekiranya gangguan tersebut disebabkan fibroid.

Baca juga Wanita terpaksa buang rahim akibat ketumbuhan fibroid. Berikut fakta yang perlu kaum Hawa tahu

Kebanyakan kes yang diterima, ia agak terlambat dan masalah sudah berada pada peringkat akhir. Sebagai contoh kes, saya telah mengesan ketumbuhan fibroid seberat 6.2 kilogram terhadap seorang pesakit.

Iklan

Perhatian serius

Saya ingin menegaskan kepada golongan wanita sekiranya berlaku pendarahan kerap setiap kali berhubung kelamin meskipun melepas umur 40 tahun, ia juga boleh dikategorikan sebagai petanda awal kanser pangkal rahim atau terdapat ketumbuhan yang memerlukan rawatan segera.

Selain itu, lelehan berbau disebabkan jangkitan kuman juga perlu dipandang serius oleh golongan wanita.

reproduktif

Sebenarnya, terdapat kaedah rawatan mudah untuk mengenal pasti jenis kuman supaya ubat dan rawatan tepat boleh diberikan kepada pesakit dengan segera.

Pada masa sama, orang ramai khususnya golongan wanita tidak boleh bergantung kepada maklumat di media sosial atau membuat andaian sendiri sekiranya menghadapi masalah pendarahan tidak normal.

Sebaliknya, mereka perlu berjumlah dengan doktor pakar untuk mengenal pasti masalah dan penyakit dialami supaya rawatan dapat dilakukan lebih awal.

Baca juga Kanser ovari ‘pembunuh senyap’ wanita! Kenali gejala awal, rawatan komprehensif dan sokongan psikososial

Iklan

Malah, teknologi perubatan negara kita sudah maju dan pelbagai pilihan rawatan sesuai yang boleh dipertimbangkan antaranya rawatan laser, pembedahan terbuka, prosedur laparoskopi dan robotik.

reproduktif
Dr Mohd Nazri (kanan) menjelaskan mengenai risiko serta penjagaan kesihatan sistem reproduktif wanita semasa program DNA SinarPlus.

Bagaimanapun, saya tidak menafikan masalah sama mungkin boleh berulang sekiranya melibatkan isu genetik dan keturunan. Cuma, saya nasihatkan supaya menjaga pemakanan serta berat badan.

Kalau boleh elakkan untuk makan makanan yang boleh mencetuskan semula sel kanser atau ketumbuhan dalam rahim. Ia memerlukan kawalan dan disiplin yang tinggi.

Justeru, saya menasihatkan kepada golongan wanita supaya kesedaran awal sangat penting tidak kira usia supaya pemeriksaan kesihatan sistem reproduktif dapat dibuat secara berkala.

BERSAMA DR MOHD NAZRI YAZID, Pakar Obstetrik & Ginekologi, Hospital Pakar KPJ Selangor.

(Beliau dijemput sebagai panel program DNA yang membincangkan topik Kesihatan Reproduktif Wanita: Jangan Ambil Ringan)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee