MINAT dalam dunia fesyen membuatkan Darwennah Siska tidak betah memilih bidang lain sebagai kerjaya utama.

Manakan tidaknya, seawal usia 11 tahun, beliau sudah tahu menjahit baju sekolah sendiri. Bakat dalam bidang jahitan diwarisi daripada ibunya yang merupakan seorang tukang jahit.

Langkah sulung wanita kecil molek itu dalam bidang fesyen bermula 2012 dengan menghasilkan rekaan untuk busana siap pakai atau ready to wear selain turut menerima tempahan. Kini, tumpuan beliau diberikan sepenuhnya kepada jahitan manik.

Siska

Baca ni Anak sulung Adira Suhaimi beraksi di pentas fesyen antarabangsa raih pujian. ‘Lenggok macam supermodel, memang berbakat!’

Nyata langkah beliau dalam industri fesyen menampakkan hasil bila mana terpilih untuk menyertai Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW 2016).

Mengimbau kenangan manis dalam bidang tersebut, anak keempat daripada lima beradik itu mengakui kenangan menyertai KLFW 2016 / 2017, fashion Event Annual Dinner New zealand membuka peluang dirinya untuk meraih pelanggan dari luar negara seperti Brunei dan Singapura.

Menggunakan nama sendiri sebagai jenama produknya untuk diketengahkan, ini alasan tuan punya badan tatkala ditanya kenapa memilih untuk berbuat demikian.

“Saya rasa nama Darwennah Siska itu cukup unik dan rare. Ditambah pula, ibu yang memilihnya, membuatkan ia begitu istimewa.

“Ada juga yang terkejut bila diberitahu saya berasal dari Keningau, Sabah. Mereka sangkakan saya dari indonesia,” kongsinya lagi.

siska 1

Pencinta fesyen
Berbicara lanjut tentang label fesyennya yang mengetengahkan rekaan klasik dengan butiran manik moden penuh eksklusif, wanita yang lebih mesra disapa Siska itu mengakui, keutamaan tetap pada cita rasa dan pilihan pelanggan terutama sekali membabitkan pilihan warna yang diingini.

Kata beliau, untuk satu-satu rekaan, kreativiti amat diperlukan dalam mencorakkan jahitan manik berdasarkan saiz, warna dan corak.

“Setiap satu rekaan yang diketengahkan, saya fokus kepada kesukaan pelanggan. Jika mereka nak saya pilih atau reka pun boleh. Dengan kata lain, saya mementingkan kepuasan dan kegembiraan pelanggan.

“Untuk butiran manik, saya lebih gemar memilih manik beras Jepun. Selain itu, ada juga manik mutiara, manik tiga dimensi (3D), renda dan kerongsang untuk satu-satu rekaan,” ujar Siska lagi.

Baca juga Gabung fesyen moden dan elemen Jawa bukti kecintaan Aisha Retno pada warisan sendiri

Menjadikan tumbuhan hijau sebagai sumber inspirasi, akuinya, untuk rekaan busana yang ditempah khas biasanya material adalah daripada pelanggan sendiri.

Iklan

“Ada juga yang saya sediakan jika itu yang diminta oleh pelanggan. Cuma pemilihan warna, saya berikan kebebasan untuk mereka membuat keputusan mana satu yang disukai,” ujar wanita berusia 38 tahun itu lagi.

siska 2Pada masa yang sama, pereka fesyen itu turut berkongsi cabaran dalam menghasilkan satu persatu rekaan. Katanya, ia bukan semudah dilihat dengan mata kasar.

“Kesukaran yang saya selalu hadapi adalah tercucuk jarum pada jari. Bukan itu sahaja, nak masukkan benang dekat jarum pun adakalanya mengambil masa kerana jahit manik ini memerlukan saya pakai jarum yang sangat halus.

“Disebabkan itu, untuk satu-satu rekaan, ada yang memakan masa sehari, ada yang sampai seminggu bergantung jenis rekaan dan penggunaan manik,” ungkap pencinta fesyen itu lagi.

Baca lagi Lady of Leisure cipta kelainan untuk koleksi cinta. Terap elemen puisi, seni lukisan dalam fesyen

Sedar risiko dan saingan cukup sengit, sementelah bakat-bakat baharu tumbuh bak cendawan selepas hujan, namun empunya diri tetap optimis dan bersedia menghadapinya.
Jujur Siska memberitahu, mana-mana bidang kerjaya sekalipun, soal tersebut tidak boleh lari. Justeru, tidak timbul rasa bimbang, sementelah dirinya sudah ada pelanggan tetap.

Iklan

siska 2“Kita semua tahu rezeki semuanya datang dari ALLAH. Yang penting, kita kena fokus kerja dan ikhlas dalam setiap pekerjaan.

“Saya pun banyak kawan yang terbabit dalam bidang yang sama. Jadi, apa salahnya kita sokong antara satu sama lain ataupun bertukar idea tanpa perlu asyik nak fikirkan soal terpaksa bersaing antara satu sama lain,” ujar Siska dengan nada tegas.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!